KUALA TERENGGANU – Detik membuka tabung-tabung kecil berisi helaian wang RM1 dan kepingan syiling di Markas PAS Cawangan Kerandang pada semalam meninggalkan kesan mendalam, sehingga tanpa disedari beberapa titik air mata mengalir ketika wang kecil itu dikeluarkan satu persatu.
Momen tersebut disifatkan sebagai pengalaman yang menusuk jiwa, seolah-olah mengimbau kembali perjalanan panjang perjuangan bersama masyarakat kampung yang setia mendokong perjuangan Islam sejak sekian lama, lebih-lebih lagi ketika bahtera perjuangan sedang diuji.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, apa yang dilalui bersama orang-orang kampung selama ini terasa begitu dekat di hati dan sukar digambarkan dengan kata-kata.
“Entah mengapa, apa yang saya lalui bersama orang-orang kampung selama ini terasa menusuk hati saat bahtera perjuangan ini sedang diuji,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, tabung berkenaan dikenali sebagai Tabung PASTI yang menjadi medium sumbangan ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi bagi memastikan kelangsungan Institusi Pendidikan PASTI.
Dr Azman menegaskan bahawa walaupun PAS kini menerajui kerajaan negeri Terengganu, urusan kerajaan dan parti tetap dipisahkan secara jelas demi menjaga integriti perjuangan.
“Orang kampung simpan samah seriyal sehari sebagai saham kepada perjuangan. Walaupun PAS adalah kerajaan di Terengganu, kita tidak campur aduk antara urusan kerajaan dan parti,” ujarnya.
Katanya, apa yang lebih menyentuh perasaan ialah kesungguhan golongan bawahan yang tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi, namun tetap setia menyokong perjuangan Islam dengan sepenuh hati.
“Di hujung-hujung kampung, ada orang-orang yang tidak punya apa-apa kepentingan, tetapi mereka menyayangi perjuangan ini tanpa sebarang keraguan. Walau dengan jumlah kecil samah seriyal yang disimpan sehari, mereka ingin turut menyumbang,” katanya.
Menurut beliau, ahli-ahli PAS di peringkat cawangan akan mengumpul tabung tersebut secara berkala sebelum memecahkannya bersama-sama di markas sebagai simbol kebersamaan dan keikhlasan.
“Mereka hanya ingin melihat Islam berdaulat dan syariat Allah ditegakkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Azman menegaskan bahawa nilai sumbangan kecil daripada ahli-ahli PAS di peringkat akar umbi jauh lebih bermakna berbanding sumbangan besar yang sering dibanggakan.
“Demi Allah, nilai samah seriyal yang disimpan dalam tabung oleh ahli-ahli PAS di cawangan-cawangan untuk biaya perjuangan lebih bernilai daripada pitih juta-juta yang dibanggakan,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan kesediaannya untuk terus bersama rakyat bawahan yang ikhlas menyokong jemaah, walaupun hanya dengan wang kecil dan sederhana.
“Saya lebih rela berada di sini membilang note RM1 dan kepingan syiling bersama mereka yang menyayangi jemaah ini sepenuh hati,” katanya.





























