KUALA TERENGGANU – PAS melihat kuasa dan jawatan sebagai alat khidmat kepada rakyat, bukannya lambang kemuliaan, sekali gus menegaskan keputusan tidak menyertai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Perlis dibuat berasaskan pertimbangan maslahat dan kestabilan pentadbiran.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Muhamad Hamdi Harun berkata, keputusan tersebut turut mengambil kira keperluan memelihara muafakat dalam kerangka gabungan politik yang lebih besar.
Menurutnya, dalam disiplin gerakan Islam, PAS sentiasa dididik agar mendahulukan islah atau pembaikan serta menjaga tertib berjemaah dengan berlapang dada dan tidak mengeruhkan keadaan.
“Kita meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan individu atau kumpulan. Itu prinsip yang sentiasa menjadi pegangan PAS dalam setiap keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa PAS tetap komited melaksanakan amanah rakyat melalui pelbagai saluran termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen, kerja-kerja kebajikan serta khidmat masyarakat, di samping mengekalkan adab dan rasa hormat terhadap institusi negeri.
Mengulas isu kesediaan PAS untuk menerajui atau memimpin Perikatan Nasional (PN), Muhamad Hamdi berkata ia perlu difahami sebagai kesediaan memikul amanah, bukan menuntut keistimewaan.
“Kekuatan PAS terletak pada jentera yang tersusun hasil budaya tarbiyah, disiplin, kesukarelawanan dan kerja berpasukan yang telah lama dibina,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dalam kerangka gabungan, semua peranan dan tanggungjawab mesti diputuskan melalui proses syura dan muafakat dengan menghormati rakan-rakan parti.
Menurutnya, matlamat utama PAS dan PN adalah untuk memperkukuh organisasi, menyusun strategi secara matang serta tampil sebagai gabungan yang stabil, berintegriti dan diyakini rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).
“Pendekatan ini bukan berasaskan retorik, sebaliknya melalui prestasi, akhlak politik yang baik dan keupayaan menawarkan penyelesaian sebenar kepada masalah rakyat,” katanya.





























