‘Tindakan Muhyiddin Berjiwa Besar’

287
Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS menyifatkan keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai satu tindakan berjiwa besar yang wajar dihormati, selari dengan kematangan dan kebesaran seorang pemimpin negara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, segala jasa dan khidmat bakti Tan Sri Muhyiddin sepanjang memimpin Perikatan Nasional dan negara akan terus dikenang, khususnya peranan besar beliau dalam menyelamatkan Malaysia daripada wabak Covid-19.

Menurutnya, usaha memulihkan negara sehingga rakyat dapat kembali menjalani kehidupan seperti sedia kala merupakan jasa yang amat besar dan tidak boleh dipadam daripada lipatan sejarah.

“Sejarah itu tidak boleh diubah. Peranan Tan Sri dalam menyelamatkan negara ketika krisis Covid-19 adalah satu jasa besar kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang pandangan yang pernah diutarakan sebelum ini tidak sedikit pun mengurangkan rasa hormat dan sanjungannya terhadap Tan Sri Muhyiddin, lebih-lebih lagi sebagai seorang yang lebih berusia, berpengalaman dan disifatkan sebagai ‘Abah’.

Afnan berkata, beliau memohon maaf sekiranya terdapat kata-kata yang menyebabkan Tan Sri berasa tidak senang atau tersinggung, sambil menegaskan bahawa tiada sebarang isu peribadi yang wujud.

“Ia lahir semata-mata daripada ketegasan untuk kebaikan bersama ketika kita berada di dalam sebuah kapal yang sama,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa perjuangan perlu diteruskan walaupun berlaku pertukaran kepimpinan.

“Walau nakhoda kapal berganti, kapal ini mesti terus belayar menempuh ombak dan badai hingga sampai ke destinasi,” katanya.

Mewakili seluruh jentera Pemuda Perikatan Nasional dan Pemuda PAS, Afnan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan.

“Jasamu akan kami kenang sampai akhir hayat,” katanya.