Cegah Kemungkaran Benteng Keselamatan Ummah

105

KUALA TERENGGANU – Tanggungjawab mencegah kemungkaran perlu dipikul oleh setiap umat Islam bagi menyelamatkan masyarakat daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Dato’ Haji Husain Awang, menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh berdiam diri apabila melihat kemungkaran.

Sebaliknya, wajib bertindak mengikut kemampuan sebagaimana digariskan oleh Rasulullah SAW melalui tiga kaedah iaitu kuasa, lisan dan hati.

Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan hadis, apabila masyarakat membiarkan kemungkaran berlarutan tanpa dicegah, maka azab Allah akan turun kepada semua, termasuk mereka yang tidak melakukan kemungkaran.

“Jika nampak maksiat tapi kita hnya benci dengan hati maka kita sama taraf dengan orang yang tak tahu sama sekali maksiat itu berlaku.

“Jika orang alim berdiam diri akan memperkatakan yang benar dan orang jahil berterusan dengan kebathilannya maka rosaklah masyarakat itu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam kuliah dhuha di Masjid Rusila, Marang, semalam.

Katanya, keadaan menjadi lebih parah apabila golongan alim memilih untuk senyap, sementara golongan jahil terus menyebarkan kebatilan sehingga merosakkan struktur sosial masyarakat.

Mengambil ibrah kisah Bani Israel pada zaman Nabi Musa AS, beliau mengingatkan bahawa mereka yang mempermainkan perintah Allah dan menghalang usaha menasihati akhirnya menerima balasan berat apabila ditukar menjadi kera dan babi.

“Perjuangan menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran adalah jihad yang berterusan hingga hari kiamat,” tegasnya.

Justeru itu, beliau menyeru umat Islam agar kembali menghayati peranan sebagai “umat terbaik” dengan memperkukuh amalan amar makruf nahi mungkar, khususnya dalam keadaan semasa yang sarat dengan fitnah, maksiat dan normalisasi dosa.