Pembangunan TOD ECRL Tidak Bebankan Sungai Gombang

110
Dato’ Haji Hanafiah Mat

KUALA TERENGGANU — Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan bahawa pembangunan Transit Oriented Development (TOD) di kawasan Stesen ECRL Dungun akan dilaksanakan dengan kawalan rapi bagi memastikan Sungai Gombang tidak menanggung beban tambahan dan risiko banjir dapat diminimumkan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dato’ Haji Hanafiah Mat, berkata, kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah Dungun, Majlis Perbandaran Dungun dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyelaras perancangan dengan mengambil kira faktor geografi serta sistem saliran sedia ada.

“Bagi mengurangkan beban takungan air ke Sungai Gombang, beberapa inisiatif yang sedang dipertimbangkan dan dilaksanakan adalah termasuk pembinaan kolam takungan di Taman Rakyat, kerja penstabilan tebing sungai, serta penyelenggaraan sistem saliran utama di Kampung Paya, Binjai dan Balai Besar,” katanya.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha PAS Terengganu berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga (Sidang Bajet) Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Ke-15, pagi ini.

Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli

Menurut beliau, usaha ini turut disokong dengan kerja pemuliharaan sistem saliran di kawasan Gong Pasir dan Balai Besar yang telah membantu meningkatkan keupayaan saliran tempatan ketika hujan lebat.

Bagi jangka panjang, Dato’ Hanafiah berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) Lembangan Sungai Dungun yang diluluskan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13).

“Antara komponen utama dalam kajian ini termasuk pembinaan kolam takungan banjir, pembinaan ban di sepanjang sungai, kerja mendalam dan melebarkan sungai, menaik taraf sistem saliran utama di kawasan rendah serta menaik taraf pintu air dan rumah pam,” jelasnya.

Beliau menambah, hasil kajian ini akan menjadi penanda aras kepada pelaksanaan projek baharu di bawah RMKe-13 bagi mengurangkan risiko banjir secara menyeluruh di Dungun termasuk kawasan Rantau Abang, Kampung Che Lijah, Taman Rakyat, Kampung Paya dan Balai Besar.

Beliau menambah, kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah dana bagi kerja-kerja pemuliharaan dan penyelenggaraan sistem saliran di kawasan berisiko tinggi banjir di daerah berkenaan sebagai langkah proaktif menghadapi perubahan iklim dan pembangunan pesat sekitar ECRL.