KUALA TERENGGANU – Tiga fokus menjadi panduan dan tujuh pemacu utama Belanjawan Terengganu 2026 untuk mempertingkat prestasi pentadbiran, kecekapan perkhidmatan dan kepercayaan rakyat , ke arah merealisasikan visi negeri Maju, Berkat dan Sejahtera.
Menteri Besar, Dato’ Sri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, , ketiga-tiga fokus ini dirangka bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran, menstruktur semula daya tahan ekonomi, dan memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin secara menyeluruh dan inklusif.
“Fokus pertama ialah memperkemas tadbir urus kerajaan bagi meningkatkan keberhasilan dan kedua menstruktur daya tahan ekonomi bagi memacu pertumbuhan serta ketiga melestarikan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan inklusif,” jelasnya.


Beliau berkata demikian etika membentangkan belanjawan tersebut di Dewan Undangan Negeri, semalam.
Ahmad Samsuri berkata, tiga fokus utama ini menjadi landasan kepada pelaksanaan Belanjawan 2026 yang bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi”, selaras dengan matlamat menjadikan Terengganu sebagai negeri yang maju, berkat dan sejahtera menjelang tahun 2030.
Justeru itu beliau turut menyeru semua jabatan, agensi, PBT dan GLC negeri agar bergerak dengan lebih pantas dan bersepadu dalam meningkatkan prestasi serta keupayaan masing-masing bagi menjayakan agenda pembangunan negeri.
Katanya, Belanjawan 2026 ini memperuntukkan sejumlah RM1.938 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta.


“Sektor sosial kekal menerima peruntukan terbesar iaitu RM323.8 juta atau 72 peratus daripada keseluruhan Perbelanjaan Pembangunan. Peruntukan untuk sektor ekonomi ditambah kepada RM92.84 juta atau 21.6 peratus berbanding 4.4 peratus dalam belanjawan 2025, manakala peruntukan untuk sektor pentadbiran pula adalah sebanyak RM33.4 juta atau tujuh peratus.
“Kerajaan Negeri juga komited untuk meningkatkan hasil janaan negeri iaitu RM85.36 juta daripada Hasil Cukai dan RM203.23 juta daripada Hasil Bukan Cukai di samping RM1.709 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil menjadikan keseluruhan hasil adalah berjumlah RM1.998 bilion iaitu ‘surplus’ sebanyak tiga peratus,” katanya lagi
Manakala tujuh pemacu utama dalam Belanjawan 2026, kata beliau bakal bakal melonjak kecekapan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia penting bagi memastikan setiap perbelanjaan kerajaan memberi impak besar kepada rakyat, bukannya hanya berorientasikan output semata-mata.


Menurut beliau yang juga Naib Presiden PAS, pemacu pertama menekankan bahawa proses belanjawan mesti dinilai berdasarkan keberkesanan inisiatif dan hasilnya kepada rakyat.
“Bagi memastikan pelaksanaan inisiatif utama kerajaan berjalan lancar, kerajaan akan memperkasakan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Inisiatif Utama serta menubuhkan Pasukan Petugas Mekanisme Pembiayaan Inisiatif yang turut disertai oleh ADUN backbenchers,” jelasnya..
Tambah beliau, dua pangkalan data penting iaitu Profil Rakyat Terengganu dan Sahabat Usahawan Terengganu perlu dipastikan lengkap dan dikemaskini secara berterusan bagi membolehkan kerajaan membuat keputusan yang tepat serta melaksanakan intervensi di kawasan yang memerlukan.
Dalam masa yang sama, pendekatan ‘whole-of-state’ akan digerakkan bagi menggabungkan kerjasama antara kerajaan, GLC, sektor swasta dan komuniti melalui perkongsian data strategik di bawah satu entiti.
.


Dr. Ahmad Samsuri turut menekankan peningkatan kecekapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui penyelarasan prosedur, pelesenan dan kebenaran merancang agar lebih seragam di seluruh negeri, selain memperkasakan peranan Ahli Majlis dengan latihan dan pengetahuan baharu.
“Kecekapan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) yang begitu dekat dengan rakyat, yang setiap hari terpaksa berdepan dengan rakyat ini mesti dipertingkatkan dengan memperkasakan peranan Ahli-ahli Majlis. Kita tidak boleh lagi berada di takuk lama Ahli-ahli Majlis kita. Ianya perlu diperkasakan dengan pelbagai ilmu dan pelbagai pendekatan.,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan juga akan menubuhkan Majlis TVET Negeri Terengganu bagi mengarusperdanakan latihan teknikal dan vokasional sebagai salah satu pemacu pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.


“Yang terakhir berkenaan dengan kepuasan dan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri mesti yang mesti dipertingkatkan dan diperkukuhkan melalui tugas kita melalui pemantapan jentera dan operasi penerangan yang lebih berkesan. Pelbagai kaedah boleh dilaksanakan antaranya ialah ‘artificial intelligence’ dan data raya,” tambah Ahmad Samsuri.
Menurut beliau, ketujuh-tujuh pemacu itu dianggap penting dan mendesak.
Justeru itu, beliau menyeru semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua jabatan diminta mengambil tindakan segera bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya.





























