Sidang DUN Bajet 2026; RM9.87 Bilion Pelaburan Asing 2022 hingga Jun 2025

76
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Ekonomi Digital Negeri, YB Haji Mohd Nurkhuzaini bin Ab Rahman

KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Terengganu berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM9.874 bilion sepanjang tempoh 2022 hingga Jun 2025, hasil pelaksanaan pelbagai misi pelaburan strategik di luar negara.

Katanya, daripada jumlah tersebut, RM8.687 bilion merupakan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang telah mewujudkan 5,661 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Ekonomi Digital Negeri, YB Haji Mohd Nurkhuzaini bin Ab Rahman, berkata, kejayaan ini adalah hasil usaha berterusan kerajaan negeri melalui agensi seperti MIDA dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dalam melaksanakan misi pelaburan antarabangsa yang berfokus kepada sektor berimpak tinggi.

“Kita memberi tumpuan kepada sektor seperti teknologi hijau, sumber mineral nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), serta minyak dan gas, di samping memperkukuh hubungan strategik dengan pelabur luar negara,” katanya ketika menjawab soalan lisan yang ditanya ADUN Bandar dalam Sidang DUN Terengganu di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

ADUN Bandar YB Ahmad Shah Mohamed

Menurutnya, antara pencapaian utama hasil misi pelaburan termasuklah kerjasama Teknologi NR-REE – Rundingan dengan syarikat dari Australia, Jepun dan Korea Selatan bagi teknologi pemprosesan NR-REE yang mesra alam.

“Pengembangan Sektor Minyak dan Gas, Syarikat Milik Kerajaan Terengganu EPIC Berhad berjaya memperoleh kontrak melibatkan pelbagai aktiviti hiliran dan logistik serta rundingan bersama syarikat dari Oman dan PETRONAS bagi pengambilalihan dua lapangan minyak.

“Pembangunan Teknologi Hijau dan Tenaga Baharu iaitu Pelancaran Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITIH 2030) menandakan komitmen Kerajaan Negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai peneraju tenaga hijau negara.

“Pelan ini menyasarkan penjanaan 4 gigawatt tenaga hijau menjelang 2030,” jelasnya.

Antara projek utama di bawah inisiatif ini termasuk, kata beliau ialah, Projek Hibrid Hidro-Floating Solar di Tasik Kenyir, Loji Hidrogen PETRONAS di Kerteh, Taman Perindustrian Kemaman untuk pembangunan industri hiliran CCUS (Carbon Capture, Utilisation and Storage) dan projek rintis kincir angin di Kemaman

YB Mohd Nurkhuzaini yang juga Yang Dipertua PAS Besut, turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang memperkukuh ekosistem pelaburan melalui pembangunan infrastruktur sokongan industri, pewujudan zon pelaburan strategik baharu, dan pelaksanaan promosi digital serta diplomasi ekonomi antarabangsa.

“Selaras dengan hasrat tersebut, pelaksanaan Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITIH 2030) turut dijadikan landasan utama dalam menarik pelaburan baharu yang menumpukan kepada ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, pengurusan sisa pintar serta pembangunan bandar rendah karbon.

“Melalui PITIH 2030, Kerajaan Negeri beriltizam untuk menukar potensi sumber asli Terengganu kepada peluang pelaburan hijau yang berimpak tinggi, sejajar dengan komitmen negeri terhadap Agenda Pembangunan Mampan (SDG),” tambah beliau.

Justeru itu, Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh hubungan antarabangsa, memperluas rangkaian pelaburan global dan memastikan setiap inisiatif yang dijalankan memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri.memperkukuh kedudukan ekonomi Terengganu di peringkat global.