‘Perang Salib’ Ke Atas Nigeria: PAS Kecam Helah Politik Trump, Kuasa Barat

159

KUALA TERENGGANU – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam keras kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengugut untuk menyerang Nigeria atas alasan kononnya mahu membela masyarakat Kristian di negara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Lajnah Antarabangsa YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata , kenyataan Trump itu perlu dilihat sebagai helah politik bagi menutup realiti sebenar krisis dalaman Amerika Syarikat dan kepentingan ekonomi kuasa Barat di benua Afrika.

“Tanpa ribut tanpa hujan, tiba-tiba Donald Trump memberi amaran mahu menyerang Nigeria kononnya kerana kezaliman terhadap orang Kristian.

“Hakikatnya, kenyataan itu hanya alasan untuk menguasai sumber tenaga seperti minyak, gas dan nadir bumi (REE) yang kaya di benua Afrika,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, pentadbiran Donald Trump dikuasai oleh gerakan Kristian Zionis yang mendokong sepenuhnya rejim haram Israel serta berdendam dengan Dunia Islam.

Namun, katanya, selepas tercetusnya perang Taufan al-Aqsa di Palestin, masyarakat Kristian di Amerika Syarikat mula menunjukkan perubahan sikap terhadap polisi luar negara mereka.

“Jalur pemikiran baharu mula mempertikai dokongan melampau Amerika kepada Zionis.

“Tokoh konservatif seperti Tucker Carlson sendiri kini lantang mengkritik dasar luar AS yang dipengaruhi deep state Zionis,” katanya.

Dr.Khalil turut mempersoal keikhlasan Trump yang mendakwa mahu membela penganut Kristian, sedangkan beliau tidak pernah mengecam kekejaman rejim Zionis yang mengebom gereja di Gaza dan membunuh wartawan Kristian Palestin, Shireen Abu Akleh.

“Jika benar mahu membela agama, kenapa diam apabila gereja di Gaza dibom dan masyarakat Kristian Palestin dibunuh?

“Kenapa hanya bersuara apabila ia menguntungkan politik dan ekonomi Amerika?” tegasnya.

Katanya lagi, konflik di Nigeria tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut agama kerana ia melibatkan perebutan tanah, sumber air, serta perbalahan suku dan puak yang berlarutan sejak berabad lamanya.

“Pembunuhan yang berlaku hanyalah kes terpencil, malah ada kumpulan ekstremis yang ditaja pihak berkepentingan bagi mencetuskan kekacauan,” katanya.

Tambah beliau, Amerika kini berusaha mencari jalan untuk mengekang pengaruh Rusia dan China di Afrika selepas beberapa negara seperti Chad dan Burkina Faso mula beralih arah daripada kuasa Barat.

“China dan Rusia kini sudah satu langkah ke hadapan dalam perebutan sumber REE di Afrika. Maka Amerika perlu mencari alasan baharu untuk campur tangan,” jelasnya.

Dr. Khalil menyeru agar dunia menilai konflik di Afrika secara adil dan tidak sewenang-wenangnya menuduh Dunia Islam sebagai punca keganasan.

“Dunia Islam mendambakan kepimpinan yang ikhlas untuk memimpin kembali dunia yang sarat dengan kezaliman.

” Insya-Allah kebenaran akan menang dan kebatilan akan tersungkur dengan izin Allah,” katanya.