MARANG – Pasukan Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Marang bersiap sedia sepenuhnya menghadapi kemungkinan sebarang bencana dan banjir pada musim tengkujuh yang akan tiba tidak lama lagi.
Ketuamya, Mohamad Amirul Mizan Ali berkata, pihaknya telah menyemak kekuatan anggota serta aset di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam daerah berkenaan bagi memastikan operasi menyelamat dan bantuan berjalan lancar.
“Malam ini kami semak semula kekuatan pasukan di setiap DUN dalam daerah Marang termasuk aset dan kelengkapan yang ada seperti bot, enjin, pelampung, walkie-talkie, water jet, chainsaw, lori,
“pacuan empat roda, sampai ke tangga dan kon keselamatan pun ada. Semua disemak supaya bila tiba masa banjir, tak ada kelam-kabut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menegaskan, Jabatan Amal bukan sekadar pasukan sukarelawan biasa bahkan katanya, ramai dalam kalangan anggotanya terdiri daripada mereka yang berkhidmat dalam pasukan beruniform seperti bomba, tentera, polis dan agensi keselamatan lain.
Katanya, Jabatan Amal sentiasa bersedia untuk berperanan sebagai tenaga sokongan kepada agensi penyelamat rasmi setiap kali berlaku bencana, bukan bertindak secara bersendirian.


“Yang menarik, tiada had umur untuk jadi ahli Amal. Asal ada semangat sukarela dan mahu berkhidmat, semua orang dialu-alukan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Amal Marang turut melengkapkan diri dengan peralatan pasca banjir bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa selepas air surut nanti.
“Water jet, sekup lumpur, penarik air, penyapu semua ini penting untuk bersihkan rumah mangsa lepas banjir surut nanti,” ujarnya.
Menuurutnya, antara aset semasa dimiliki Jabatan Amal Marang ialah enam unit water jet, satu water pump, dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori, lima buah kereta, dua chainsaw, 10 jaket keselamatan, sebuah bot fiber bersama enjin, satu generator, satu tangga, 10 kon keselamatan, satu trauma bag, satu set first aid, 10 walkie-talkie, satu repeater, enam tangki air, 10 sekup lumpur dan 10 penarik air.
Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa peralatan yang masih diperlukan bagi memperkukuh kesiapsiagaan pasukan berkenaan termasuk hailer, mobile rig, stretcher, camp bed, infusion set, wound management set, wheelchair, penarik air, water jet, sekup lumpur, kereta tolak dan penyapu.
“Kalau ada yang berhajat nak menyumbang, sangat-sangat dialu-alukan,” tambah beliau.
Justeru itu, beliau turut memaklumkan, sekiranya berlaku sebarang bencana di Daerah Marang, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau terus berhubung dengan Pegawai Bertanggungjawab (PIC) Jabatan Amal di setiap DUN seperti berikut:
Alor Limbat – 011-19445619
Bukit Payong – 017-8822934
Rhu Rendang – 013-9903092
Pengkalan Berangan – 013-9760936





























