Lancar Sistem Keahlian Digital, PAS KT Sasar Tarik Lebih Ramai Anak Muda

69

KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Kuala Terengganu melancarkan sistem pendaftaran keahlian baharu secara dalam talian bagi memudahkan penyertaan ahli baharu, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Dato Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, sistem berkenaan membolehkan orang ramai mendaftar sebagai ahli PAS hanya melalui telefon pintar tanpa perlu lagi mengisi borang secara manual.

“Dengan sistem ini, mereka hanya perlu membuat pendaftaran secara online dan pihak kawasan akan memproses permohonan sehingga mereka sah menjadi ahli PAS,” jelasnya.

Beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Terengganu Kali Ke-51, di Markaz Tarbiyyah Kuala Ibai, sabtu.

Tambahnya, PAS Kuala Terengganu kini mempunyai kira-kira 15,000 ahli dan yakin pelancaran sistem digital itu akan membantu meningkatkan jumlah keahlian, terutama dalam kalangan Generasi Y dan Generasi Z.

Katanya, PAS turut mempunyai pelbagai platform yang memberi tumpuan kepada golongan muda seperti Ameerah, Hamra’, ARC serta pelbagai program kebudayaan, kesenian, sukan dan pemotoran.

“Semua entiti ini memberi fokus kepada anak muda dan saya yakin penyertaan mereka dalam PAS akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” ujarnya.