Dua Tahun Taufan Al-Aqsa: Seruan Haraki Dari Surah Ibrahim

69

KUALA TERENGGANU – Genap dua tahun pelancaran operasi Taufan Al-Aqsa hari ini disambut dengan peringatan penuh makna apabila gerakan Islam Hamas mengeluarkan poster berinspirasikan ayat kelima Surah Ibrahim yang sarat dengan mesej perjuangan dan kesedaran haraki.

Ayat tersebut mengisahkan pengutusan Nabi Musa A.S. yang diperintahkan oleh Allah untuk membawa kaumnya keluar daripada kegelapan menuju kepada cahaya iman, serta mengingatkan mereka kepada “hari-hari Allah”, yakni peristiwa besar yang menjadi tanda kekuasaan dan pertolongan-Nya.

Menurut Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah Badan Perhubungan PAS Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek, ayat ini mengandungi tiga asas penting dalam pembinaan gerakan Islam, iaitu mandat perubahan, kesedaran sejarah dan pembentukan watak pejuang sejati.

“Perintah ‘Keluarkanlah kaummu daripada kegelapan kepada cahaya’ menggambarkan tanggungjawab setiap gerakan dakwah untuk melaksanakan perubahan nyata. Kegelapan bukan sekadar kekufuran, tetapi juga kejahilan, penindasan dan kemunduran umat,” ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa cahaya (an-nur) bermakna tauhid, ilmu, keadilan dan kebebasan yang berpaksikan syariat Allah, justeru setiap pejuang Islam wajib berperanan aktif membimbing masyarakat menuju perubahan tersebut.

Tambahnya lagi, seruan agar umat mengingati “hari-hari Allah” menuntut kesedaran sejarah agar gerakan Islam membina kekuatan berdasarkan pengalaman perjuangan para rasul dan pejuang terdahulu.

.

“Ia menghidupkan keyakinan bahawa pertolongan Allah pasti datang setelah tempoh kesukaran yang panjang, dan pada masa sama menjadi peringatan agar umat tidak mengulangi pengkhianatan terhadap perintah Allah,” katanya.

Nik Muhammad Nasri turut menegaskan bahawa dua sifat utama iaitu sabar (sabbar) dan syukur (syakur) perlu menjadi tunjang kepada watak para pejuang.

“Sabar adalah kekuatan untuk terus berjuang meskipun berdepan tekanan dan penentangan, manakala syukur adalah penggunaan nikmat Allah untuk menegakkan cahaya Islam,” jelas beliau.

Katanya lagi, kemenangan Islam hanya akan dicapai melalui kesabaran yang tinggi serta kesyukuran yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan pengorbanan di jalan dakwah.

“Semoga Allah terus membantu mereka yang membantu agama-Nya dan memberi kemenangan kepada para pejuang di Gaza dan Palestin,” tambah beliau.