Waktu tidur adalah masanya badan kita memproses tenaga sama ada untuk disimpan atau digunakan oleh tubuh. Di saat fizikal kita rehat, hormon- hormon badan bekerja bagi mengimbangi fungsi tubuh. Sebab itu tidur adalah satu elemen penting dalam kehidupan.
Dalam satu kajian oleh Nedeltcheva et al. (2010) mendapati, individu yang cuma tidur 5.5 jam setiap malam kehilangan 55% kurang lemak dan kehilangan 60% lebih otot berbanding mereka yang tidur 8.5 jam, walaupun kedua-duanya mengikut diet yang sama. Ini bermakna kurang tidur menyebabkan badan lebih mudah hilang otot dan kurang bakar lemak.
Kurang tidur mengganggu hormon seperti ghrelin yang meningkatkan rasa lapar walaupun badan sebenarnya tidak memerlukan kalori tambahan. Pada masa sama, hormon kortisol meningkat, memaksa badan menyimpan tenaga sebagai lemak.
Selain itu, kurang tidur menyebabkan insulin menjadi kurang berkesan, menjadikan kalori lebih mudah disimpan sebagai lemak dari digunakan untuk tenaga atau memperbaiki otot.
Kesimpulan: tanpa tidur yang cukup, usaha diet akan menjadi kurang berkesan dan badan cenderung membakar otot lebih banyak serta menyimpan lemak lebih banyak.
Oleh itu, kunci untuk membakar lemak dan melindungi otot adalah tidak hanya pada jumlah kalori yang diambil, tetapi juga pada kualiti dan tempoh tidur.
__________
Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
29/9/2025 @5:10pm
#HealthInfo