PAS Sedia Bekerjasama Dengan Semua Pihak

130

Pencerahan ini adalah terhadap semua pihak yang buta akan sejarah dan jahil mengenai politik Islam, sehingga membuat kenyataan yang salah terhadap kerjasama politik Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam arena politik negara sepanjang sejarahnya; sejak penubuhannya pada zaman menentang penjajahan asing mahupun selepasnya.

Dasar PAS yang berpandukan Islam serta mempertahankan kedudukan Melayu dan bumiputera bukan Islam sentiasa boleh bekerjasama dengan semua pihak. PAS tetap membawa prinsip dan konsep Islam yang membawa risalah kepada masyarakat majmuk, di samping beramal dengan konsepnya yang tetap setia dan beristiqamah atas prinsipnya dalam kerjasama dengan pihak lain.

Kerjasama tidak diadakan, dibatalkan, atau PAS sendiri dikeluarkan daripada pakatan apabila bercanggah dengan dasar, konsep, dan pendekatan yang dinyatakan di atas dengan semua pihak.

PAS tetap mempertahankan Islam yang pernah berdaulat di Malaysia (sebelumnya Tanah Melayu) apabila penduduk asalnya, rumpun Melayu Islam menganut Islam, sehingga Melayu dan Islam tidak berpisah, malah Islam diterima oleh bumiputera bukan Islam kerana keadilannya kepada seluruh manusia, bukan dipaksa.

Penjajah asing datang ke negara ini merosakkan keadaan yang baik dan aman. Maka, PAS berhak dan wajib mempertahankan Islam yang menjadi aqidah dan ajarannya yang menyeluruh.

Kerjasama dibatalkan dengan pihak lain kerana mereka mati tidak bergerak disebabkan oleh kelemahan mereka. Bukan kerana PAS, tetapi kerana faktor dalaman mereka sendiri. Namun, ada yang masih wujud dan bebas bergerak sehingga sekarang, walaupun berpisah dengan PAS.

PAS pernah membatalkan kerjasama dengan komunis yang menentang penjajah dan menolak komunis, apabila mereka secara terbuka menentang Islam dan berjuang ke arah penjajahan negara dengan ideologi yang sesat dan pendekatan yang ekstrem.

PAS berulang kali bekerjasama dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), kumpulan Melayu dan Islam pada zaman penjajahan mahupun selepasnya. UMNO bersendirian dan bersama kumpulan bukan Islam dalam Parti Perikatan dan kemudian dalam Barisan Nasional (BN). Perpecahan berlaku apabila terdapat langkah yang dikira melemahkan kedudukan Islam dan Melayu Islam bersama bumiputera bukan Islam, lalu PAS menyokong kerajaan Parti Perikatan pimpinan UMNO dan parti bukan Islam bersamanya yang menentang komunis pada masa itu, walaupun PAS berada pada pihak pembangkang.

PAS pernah bekerjasama dengan Parti Negara, parti nasionalisme Melayu sekular selepas kemerdekaan, namun Parti Negara mati dengan sebab kelemahannya sendiri setelah keluar kerana menjatuhkan kerajaan bersama PAS di Terengganu pada tahun 1959–1961.

PAS juga pernah menyertai kerajaan campuran bersama Parti Perikatan (selepasnya BN) yang dipimpin UMNO setelah peristiwa 13 Mei 1969 kerana mempertahankan kedudukan Melayu dan bumiputera serta mengelakkan berlakunya perpecahan kerana krisis dalaman yang merugikan. Namun, PAS tetap berjaya mengembangkan pengaruhnya, walaupun selepas kejatuhan kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS pada tahun 1978.

PAS beristiqamah dalam kerjasama sama ada dengan kumpulan Islam dan bukan Islam, kanan dan kiri, mahupun yang paling ekstrem kanan dan kirinya berdasarkan perkara yang disebut di atas, sama ada sejak zaman penjajahan ataupun selepasnya.

Islam menunjukkan dua pendekatan kerjasama dengan pihak lain kerana keterbukaannya dan menjadi amalan PAS. PAS tidak pernah mengkhianati perjanjian.

Pertama, kerjasama tahaluf dan kedua, kerjasama ta‘awun.

Tahaluf ialah kerjasama dengan pihak lain yang bukan Islam dalam aspek titik persamaan, di samping tidak keluar daripada dasar Islam dan kepimpinan Melayu Islam bersama bumiputera bukan Islam yang menjadi matlamat perjuangan. Perkara ini berpandukan firman Allah SWT:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩

“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]

Adapun kerjasama ta‘awun ialah melalui hubungan yang anjal (fleksibel) dengan semua pihak berkonsepkan umum, juga berpandukan firman Allah SWT:

… وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢

“…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]

Terdahulu, PAS pernah bekerjasama dalam Gagasan Rakyat bersama Parti Melayu Semangat 46 (S46) yang berpecah daripada UMNO bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan beberapa parti bukan Islam yang lain.

PAS mengambil pendekatan untuk menang semula di Kelantan dan Terengganu serta menambah pengaruh di negeri-negeri lain dan menambah jumlah Ahli Parlimen, tanpa menguasai kerajaan persekutuan. Berlakunya perpecahan apabila S46 kembali semula kepada UMNO, dengan PAS berjaya menawan Kelantan serta menambah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1990. Adapun parti bukan Islam tidak menerima PAS kerana dasar Islamnya.

Kemudian, PAS pernah bekerjasama dalam Barisan Alternatif (BA) dan Barisan Rakyat dalam titik persamaan untuk menguasai kerajaan persekutuan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR atau ketika itu dikenali dengan Parti Keadilan Nasional atau PKN) yang liberal dan DAP serta parti bukan Islam yang lain, dan PAS tetap beristiqamah kepada Islamnya.

Sebelum itu, DAP keluar daripada BA kerana PAS menolak desakan DAP supaya PAS menyembunyikan Islamnya, kononnya sebagai strategi politik untuk menarik masyarakat bukan Islam. Namun begitu, PAS tetap berterus terang tanpa bersembunyi daripada perjuangannya kerana menolak cara penipuan, lalu DAP keluar daripada BA dan PAS tetap berada dalam BA.

Selepas itu, DAP masuk semula dalam pakatan baharu Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2008. Akan tetapi, PAS dikeluarkan daripada PR pada tahun 2015 kerana menolak langkah yang melemahkan kuasa politik Islam Melayu dan bumiputera, malah PKR pula mementingkan perjuangan melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tanpa mengira kedudukan Melayu dan Islam, berkonsepkan matlamat menghalalkan cara.

Sehinggakan, mereka menerima pilihan raya majlis perbandaran dalam keadaan penyusunan masyarakat warisan penjajah yang meminggirkan Melayu Islam dan bumiputera, seterusnya boleh menegangkan hubungan sesama masyarakat majmuk dan memberikan ruang kepada perjuangan sekular DAP untuk menghilangkan kuasa politik Melayu Islam dan bumiputera.

PAS membiarkan PKR dan kalangan yang keluar daripada PAS menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) bagi menunjukkan sekadar ada wajah Islam, laksana cerita Si Luncai yang terjun dengan labu-labunya. PAS tetap beristiqamah dengan dasar Islam dan pendekatan kuasa Melayu Islam dan bumiputera.

Kini, PAS mengadakan kerjasama kekuatan Melayu Islam dan bumiputera bersama kumpulan Melayu Islam dan parti bukan Islam yang tidak melampau.

PAS tetap mempertahankan kedudukan Islam dan kepimpinan Melayu Islam bersama bumiputera bukan Islam, di samping mengajak bukan Islam yang tidak ekstrem untuk menerima kepimpinan Melayu Islam dalam masyarakat majmuk yang pernah berjaya, malah mengajak Melayu Islam yang terlanjur daripada fitrah cinta akan bangsanya dan bersikap luar fitrah (luar tabii) agar kembali berpandukan firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِـَٔايَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ ٥

“Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu daripada gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” [Surah Ibrahim: 4–5]

PAS menolak langkah menghapuskan bumiputera seperti yang dilakukan oleh penjajah di Amerika Syarikat yang meminggirkan kaum asal Red Indian dan dilakukan juga oleh penjajah lain terhadap penduduk asal apabila mereka berkuasa.

PAS berpandukan petunjuk Allah yang memerintahkan para anbiya’ yang dilantik supaya menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam. Firman Allah SWT:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” [Surah al-Anbiya’: 107]

Maka, Islam wajib ditegakkan agar berdaulat memerintah negara Malaysia. Firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ ٩

“Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar, agar Dia memenangkannya atas segala agama, meskipun orang-orang Musyrik membenci.” [Surah al-Saff: 9]

Begitu juga, wajib menegakkan keadilan kepada semua dalam masyarakat majmuk berpandukan firman Allah SWT:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Maka, PAS mementingkan perpaduan Melayu Islam yang kuat bawah satu payung besar tanpa menonjolkan diri, dengan syarat pemimpin utama adalah Melayu Islam daripada sesiapa sahaja yang mencukupi syarat kepimpinan Islam yang beriman, berilmu, dan berakhlak yang dipilih oleh rakyat dalam PRU.

PAS menolak idea kerajaan perpaduan yang mengambil jenama menipu dengan kuasa kalangan minoriti yang membahayakan Islam serta Melayu Islam dan bumiputera, bersama dominasi DAP yang menjadi ancaman kepada Islam secara tersurat dan tersirat.

PAS tetap memilih demokrasi yang aman bagi menukar kerajaan kerana keamanan dan pendekatan damai adalah keutamaan dalam Islam.

Pendekatan yang berprinsip dan konsep ini adalah sama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia dan negarawan yang dihormati kerana pengalamannya yang panjang dalam arena politik.

Pendirian ini juga berpandukan firman Allah SWT:

۞وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُۚ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٦٢ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِي ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعٗا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٞ ٦٣

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (61) Dan jika mereka bermaksud menipumu, maka sesungguhnya, cukuplah Allah (menjadi pelindungmu). Dialah yang memperkuatmu dengan pertolongan-Nya dan dengan para Mukmin. (62) Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya, Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (63)” [Surah al-Anfal: 61–63]

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 4 Rabi‘ al-Akhir 1447 / 26 September 2025