Drama RTM Bernilai RM2 Juta Tidak Setimpal Dengan Kualiti

119

KUALA TERENGGANU – Pengarah filem, Murali Abdullah mendakwa terdapat penyelewengan dalam penerbitan sebuah drama terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menelan belanja mencecah RM2 juta.

Menurutnya, drama berkenaan hanya memiliki nilai sekitar RM140,000 jika dibandingkan dengan standard industri, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap pengurusan bajet.

“Drama itu ‘below standard’, Saya difahamkan drama tersebut merupakan ‘baby’ Ketua Pengarah RTM sendiri, Datuk Shuhaimi yang juga orang kuat PKR.

“Dengan jumlah wang itu, kami penggiat filem boleh menghasilkan 20 drama dan memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 400 pekerja industri filem,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan mutu karya berjudul Srikandi itu yang menurutnya hampir sepenuhnya digerakkan oleh kakitangan RTM sendiri.

“Skrip drama itu teruk, pakaian sangat murah dan pengarahan tidak kreatif. Drama itu langsung tidak nampak seperti bernilai RM2 juta. Sepatutnya dengan bajet sebegitu boleh sewa kuda, gajah, gunakan ribuan pelakon tambahan serta membina set istana yang gah,” tegasnya.

Murali berkata, keadaan itu membangkitkan kemarahannya kerana hasil kerja yang dipersembahkan tidak sepadan dengan jumlah dana rakyat yang dibelanjakan.

“Saya rasa ada penyelewengan duit di sini. Sepatutnya Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kena pantau RTM. RTM ini adalah stesen televisyen milik kerajaan, dan kerajaan itu milik rakyat. Sekarang nampak macam RTM nak sakau duit rakyat,” katanya.