‘Ride Solo’ Ke Muktamar; ‘Jihad’ Cina PAS Terengganu

1336

KUALA TERENGGANU – Perjalanan penuh liku yang ditempuh seorang Ahli Bersekutu PAS dari Terengganu ke Kedah untuk menghadiri Muktamar, seakan menjadi lambang semangat perjuangan ‘jihad’.

Semangatnya membara untuk sampai tepat waktu Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS 2025,lalu bergerak seawal jam 5 pagi pada 13 September lalu.

Namun, takdir menulis kisah berbeza apabila keretanya tiba-tiba rosak di pertengahan jalan, memaksa beliau berpatah balik mengambil motosikal.

Tanpa berteman, beliau terus meredah kabus tebal Jalan Raya Timur Barat sebelum tiba di Sungai Petani pada jam 12.30 tengah hari.

Siapakan gerangannya? Mungkin ramai sudah mengenali beliau apabila di sebut ‘Cina Terengganu,’ mungkin tahu siapa beliau.

Ketua DHPP Kuala Terengganu, Alex Chan Foo Yew, 41 tahun bergiat dan berjuang bersama PAS sejak lebih 10 tahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lagi.

Tanpa berfikir panjang, menukar kereta kepada motosikal, lalu memecut ‘solo’ meneruskan perjalanan, sehingga roda motosikalnya berhenti selepas hampir tujuh jam mengharung cabaran.

.

“Seorang je….ahli DHPP lain naik van sebab balik hari, saya kena stay sampai habis muktamar, jadi terpaksa gerak seoranglah,” katanya.

Bagi Alex, cabaran menunggang katanya “seekor diri” bukan penghalang, sebaliknya simbol kecil sebuah sebuah pengorbanan.

Ketika hujan renyai-renyai mengiringinya pulang dari Sungai Petani ke Alor Setar pada jam 7 malam, beliau hanya memikirkan satu perkara tentang perjuangan ini yang menuntut kesungguhan, walaupun sendirian.

Segala kepayahan itu terubat apabila mendengar ucapan Timbalan Presiden PAS Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, merasmikan Konvensyen DHPP 2025.

Kata-kata Ustaz Tuan, ujar Alex, mengangkat DHPP sebagai sayap rasmi PAS baginya seakan membayar semua jerih payah perjalanan panjang itu.

“Ucapan perasmian Konvensyen DHPP 2025 sangat memberi semangat.

“Dengan pengiktirafan DHPP sebagai sayap rasmi PAS, kita ada ruang lebih luas untuk terus jadi jambatan antara masyarakat bukan Islam dengan PAS,” ujarnya.

Selain itu, tambah beliau, seluruh anggota DHPP ditekan berapa peri pentingnya membawa mesej perpaduan.

“menepis salah faham terhadap PAS dan menjadikan DHPP lebih berwibawa serta bersedia menghadapi cabaran yang akan datang.’ jelas beliau

Bagi Alex, konvensyen kali ke-10 ini bukan sekadar medan perhimpunan, tetapi detik bersejarah yang menandakan permulaan baharu.

Di sebalik lautan manusia yang hadir, kisah perjalanan seorang lelaki Cina PAS dari Kuala Terengganu ini menjadi bukti perjuangan bukan hanya bicara di pentas, tetapi langkah berani yang diambil, walau seorang diri.