Zikrullah Dalam Kehidupan

3436

ZIKRULLAH ertinya sentiasa mengingati dan menyebut Allah. Ia bermula dengan ingatan di hati lalu tercerna menerusi lafaz sebutan seterusnya pada tindakan.

Zikrullah dengan lidah dilakukan dengan membanyakkan lafaz seperti Lailahaillallah (tahlil), Subhannallah (tasbih), Alhamdulillah (tahmid) dan Allahu Akbar (takbir), Astaghfirullah (istighfar).

Allah berfirman

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
“Wahai orang-orang beriman. Berzikirlah (ingat dan sebutlah) kepada Allah dengan zikir (ingatan dan sebutan) yang banyak dan bertasbihlah mensucikan-Nya awal pagi dan petang” (Surah al-Ahzab ayat 41-42)

Ayat ini datang selepas cerita tentang fitnah jahat yang ditimbulkan oleh golongan Munafikin terhadap Nabi saw apabila mengahwini Zainab bekas isteri kepada anak angkat baginda saw iaitu Zaid bin Harithah radiyallahu anhu. Allah menegaskan dalam ayat sebelumnya bahawa anak angkat tidak seperti anak sendiri. Bekas isteri kepada anak angkat boleh dikahwini berbeza dengan bekas isteri kepada anak sendiri yang haram dikahwini setelah disetubuhi.

Maka arahan supaya membasahkan lidah zikir seolah satu isyarat bahawa antara cara menangani fitnah golongan Munafikin ialah dengan lebih banyak berzikir daripada melayani kata-kata fitnah mereka supaya fitnah tersebut segera padam. Ayat al-Quran sudah turun bagi memadamkan api fitnah tersebut. Maka ayat-ayat Allah itulah yang mesti disebarkan dalam menghadapi fitnah mereka.

Seorang Ahli Zikir yang sempurna bukan hanya seorang yang basah lidahnya dengan zikir tetapi juga terjelma menerusi amalan seharian iaitu:
1. melakukan yang wajib.
2. membanyakkan yang sunat.
3. meninggalkan yang haram
4. Berusaha meninggalkan sebanyak mungkin yang makruh.

Sekian.

Disediakan oleh:

Dato’ Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat