Terengganu, Malaysia

Rumah Kedua NVIDIA Ialah Israel

Rumah Kedua NVIDIA Ialah Israel

(Gambar – Sebuah kemudahan Nvidia di taman berteknologi tinggi di Yokne’am, utara Israel)

Israel semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat penting industri teknologi global apabila NVIDIA, syarikat pengeluar cip kecerdasan buatan (AI) terbesar dunia, menjadikan negara itu sebagai pangkalan utama penyelidikan dan pembangunan (R&D) di luar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, sebelum ini menyifatkan Israel sebagai *’rumah kedua’* syarikat berkenaan, menggambarkan hubungan strategik yang semakin erat antara gergasi teknologi AS itu dengan industri semikonduktor Israel.

NVIDIA kini mempunyai kira-kira 6,000 pekerja di Israel yang terlibat dalam penyelidikan, pembangunan teknologi dan operasi syarikat.

“Israel merupakan tempat tinggal kepada sebahagian daripada pakar teknologi paling cemerlang di dunia dan telah menjadi rumah kedua NVIDIA.” kata Huang

Hubungan itu berkembang pesat selepas NVIDIA mengambil alih Mellanox Technologies, syarikat teknologi Israel, pada 2019 dengan nilai kira-kira AS$6.9 bilion. Pengambilalihan itu memberikan NVIDIA kepakaran penting dalam teknologi rangkaian berkelajuan tinggi yang digunakan dalam pembangunan pusat data AI.

Komitmen NVIDIA turut diterjemahkan menerusi rancangan pembinaan kampus penyelidikan baharu di Kiryat Tivon, berhampiran Haifa, yang mampu menempatkan sehingga 10,000 pekerja.

Pembinaan kampus itu dijangka bermula pada 2027 dan operasi dijadualkan bermula sekitar 2031.

Menurut laporan Al Jazeera, Bank of Israel menganggarkan aktiviti NVIDIA berpotensi menyumbang tambahan 2.2 mata peratusan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Israel pada 2026.

Bagaimanapun, hubungan erat NVIDIA dengan Israel turut menimbulkan perhatian dalam konteks konflik Asia Barat, khususnya mengenai peranan syarikat teknologi antarabangsa dalam ekonomi negara yang terlibat dalam ketegangan geopolitik.

Huang sebelum ini menegaskan komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap Israel dengan berkata, “Saya 100 peratus komited kepada Israel dan kami akan berada di sana untuk tempoh yang sangat lama.”

Perkembangan itu memperlihatkan kepentingan Israel dalam rantaian teknologi global, khususnya industri cip komputer dan kecerdasan buatan, sekali gus menjadikan negara itu rakan strategik penting kepada NVIDIA di luar AS.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan