Oleh KAM
KUALA NERUS: Yayasan Amal Malaysia dan Jabatan Amal yang ditubuhkan bagi gerak kerja kebajkan dan kemasyarakatan mendapat pujian serta nama baik dimata masyarakat umum.
Timbalan Pesuruhjaya PAS I Terengganu, Dr Alias Razak berkata pujian dan nama baik itu wajar diberikan kepada Yayasan Amal dan Jabatan Amal dalam kerja-kerja kebajikan.
Ini sekaligus, katanya dapat membantu sedikit sebanyak kelancaran gerak kerja kebajikan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Menurutnya, PAS sangat mengalu-alukan mana-mana Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ‘mesra’ serta mendokong perjuangan PAS.
“Ucap tahniah kepada Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu (YAMCT) kerana telah banyak memberi sumbangan dan sekaligus sedikit sebanyak telah melengkapi kerja-kerja PAS, khususnya di negeri Terengganu.
“Walau pun kita telah ada Lajnah Kebajikan (PAS), Badan Kebajikan pun ada dan banyak bergerak atas nama kebajikan ini. Sebab, kita (PAS) bergerak atas dasar Negara Berkebajikan.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu Kali Ke-8, di Dewan Amal Bangunan YAMCT, Gong Badak, pada 8 Ogos lalu.
Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia Pusat, Jamuliddin Elias dan Pengerusi YAMCT, Dr Suhazeli Abdullah.
Katanya, kerja-kerja kebajikan membawa imej yang baik serta bernilai tinggi kerana akan dikenang oleh masyarakat dan rakyat.
“Imej kebajikan ini sangat (ber) nilai atau tinggi nilai harganya kepada masyarakat. Wakil-wakil rakyat pun jika tidak terlibat dengan kerja-kerja kebajikan alamaknya…sepenggal sahajalah.
“Orang Melayu masih lagi begitu menghargai sumbangan kita walau pun sedikit. Tetapi, dia (penerima) akan sebut kerana besar nilainya kepada mereka.
“Kerja-kerja kebajikan ini boleh menyentuh hati dan perasaan penerimanya. Ini boleh menarik sokongan mereka kepada kita (PAS), Insya’Allah,” tegasnya di hadapan 50 perwakilan mesyuarat tersebut.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal menyifatkan kerja-kerja amal dan kebajikan itu juga dilakukan oleh pihak musuh bagi menghancurkan Islam.


“Jadi kerja-kerja (kebajikan) ini merupakan sangat penting dan sangat tinggi nilainya di sisi manusia dan di sisi Allah SWT. Tetapi ianya (kerja ini) menuntut banyak pengorbanan.
“Kerja-kerja yang mahal harganya, tinggi nilainya sudah tentu tinggi jugalah pengorbanan yang perlu kita berikan,” ujarnya.
Menurut Dr Alias, PAS sentiasa merancang kerja-kerja kebajikan tetapi mempunyai halangan serta kekangan dengan sumber kewangannya.
“PAS merancang banyak kerja-kerja kebajikan tetapi banyak juga halangan-halangan dan kekangan-kekangan itu. Antaranya, sumber (kewangan) sebab PAS sendiri pun tidak ada sumber itu.
“Kerja-kerja kebajikan pula di bawah lajnah dan lajnah itu pula mengharapkan sumber dari parti (PAS). Masalahnya, apabila kita minta sumbangan atas nama lajnah itu kurang sikit masuk (penderma).
“Tetapi jika sumbangan itu untuk bina masjid atau surau, laju (mudah) dapat sumbangan itu. Untuk (kita) buat markaz (PAS) ‘lambat’ dapat sumbangan tetapi untuk kita buat masjid, surau…sekejap sahaja dapat ribuan ringgit dari penyumbangnya.
“Alhamdulillah, dengan adanya banyak NGO-NGO yang ‘mesra’ dan ‘mendokong’ kita (PAS) mudah untuk kita laksanakan kerja-kerja kebajikan itu,” jelas beliau.
Pada majlis tersebut julung kalinya diperkenalkan beberapa anugerah kepada sukarelawan Yayasan Amal dan Jabatan Amal yang cemerlang.
Antaranya, Anugerah Relawan Mumtaz, Anugerah Relawan Mithali, Anugerah AJK YAMCT Mumtaz serta Anugerah Murobbi Dakwah & Kebajikan khasnya kepada Al-marhum Dato’ Abu Bakar Chik.




























