KUALA TERENGGANU – Ameerah Terengganu menyifatkan keputusan PAS Pusat mengenai hala tuju kerjasama politik PAS-BERSATU sebagai langkah matang dan berprinsip yang mengutamakan agenda penyatuan ummah serta kepentingan perjuangan Islam menjelang PRU16.
Pengarah Ameerah Terengganu, Ustazah Sumaiyah Zakaria berkata, keputusan tersebut mencerminkan pendekatan politik matang yang diamalkan PAS dalam menilai setiap bentuk kerjasama berdasarkan prinsip, hukum serta kepentingan ummah.
Menurut beliau, langkah yang diambil itu bukan sekadar mempertimbangkan aspek politik semasa, malah mengambil kira keperluan memperkukuhkan kesatuan umat Islam dan kestabilan negara.
“PAS mempunyai pengalaman panjang dalam mengurus hubungan taawun siasi bersama pelbagai pihak. Pengalaman inilah yang menjadikan PAS sentiasa berhati-hati dan berprinsip dalam menentukan hala tuju politiknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha PAS meneroka persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya yang mampu memperkukuhkan kekuatan ummah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, keterbukaan PAS menerima penyertaan golongan akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat menunjukkan parti itu terus mendapat kepercayaan pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Ameerah Terengganu menegaskan kesediaan muslimat muda untuk terus bersama kepimpinan parti dalam mempertahankan prinsip perjuangan Islam yang menjadi teras PAS.
“Ameerah akan terus memberikan sokongan kepada setiap ketetapan yang diputuskan oleh pimpinan serta bersedia menggalas amanah bagi memperkukuhkan perjuangan parti di semua peringkat,” ujarnya.
Beliau berharap semangat kesatuan dan kebersamaan dalam kalangan ahli serta penyokong PAS dapat terus diperkasakan demi menghadapi cabaran politik masa hadapan.





























