YADIM Seru Ketepikan Politik, Jayakan RUU 355

1583

KUALA TERENGGANU – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru kepada semua pertubuhan dan orang perseorangan agar mengenepikan sentimen politik kepartian di dalam pemikiran mereka bagi sama-sama menjayakan cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355 Oktober nanti.

Yang Dipertua Yadim, Dr Yusri Mohammad yakin, sekiranya halangan ini berjaya dibuang, maka masyarakat Islam di Malaysia akan dapat bersatu mendesak ahli parlimen muslim di kawasan mereka untuk menyokong pindaan RUU 355 ini.

Beliau yang ditemui sejurus selesai Majlis Hari Terbuka Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) turut berkeyakinan sekiranya isu ini dilihat sebagai isu asas iaitu bagi memberi lebih kuasa kepada mahkamah syariah, ia akan menjadi lebih mudah bagi memahaminya.

_DSC0567“Perkara ini sepatutnya mendapat sokongan semua dan ianya tidaklah menjadi sesuatu yang bermasalah sebenarnya kalau kita fokus kepada sudut (pemerkasaan bidang kuasa mahkamah syariah) itu.

Cuma kadang-kadang isu ini banyak juga cuba dilihat dari sudut politik kepartian, kemudian ada yang mengaitkan dengan perlaksanaan hudud sepenuhnya, jadi itu yang jadi kontoversi sikit.

Tapi kalau kita lihat dari sudut memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah, sepatutnya isu ini ‘straight forward’lah,” kata beliau.

Beliau juga memaklumkan bahawa sudah terlalu lama bidang kuasa mahkamah syariah ini tidak dikaji untuk ditingkatkan.

Oleh itu, Yadim mengambil inisiatif bagi bergerak bersama NGO-NGO lain dengan bidang tugas masing-masing bagi menjayakan pindaan RUU 355 ini yang jelas hanya untuk orang Islam, bukan kepada bukan Islam.

Dr Yusri juga menaruh harapan agar dalam tempoh sebelum pembentangan ini, ahli-ahli politik Islam menggunakan ruang ini bagi berbincang dan mencapai objektif utama iaitu pemerkasaan bidang kuasa mahkamah syariah, perlu dilakukan segera.

Beliau juga menolak tanggapan bahawa ruang yang diberikan oleh kerajaan kepada Ahli Parlimen Marang, Dato Seri Abdul Hadi Awang bagi membentangkan pindaan ini sebagai gimik politik.

Menurutnya lagi, kerajaan, dalam pengetahuannya telah lama bercadang bagi meminda akta ini dan disebabkan beberapa kekangan, maka usul ini dibenarkan dibawa yang kebetulan objektifnya sama dengan kehendak kerajaan.

Beliau juga memaklumkan bahawa sambutan dari NGO-NGO Islam sangat baik dan mereka begitu bersemangat sehinggakan sudah ada gerakan penerangan yang telah dibuat oleh NGO-NGO Islam bagi membantu menjayakan agenda pindaan RUU 355 ini.

_DSC0561Ditanya berkaitan tentangan dari kumpulan penentang seperti Majlis Perundingan Malaysia (MPM) dan G25, beliau berkeyakinan ianya hanya bantahan dari golongan minoriti, tidak mewakili suara majoriti orang Islam di Malaysia.

“Saya nampak G25 ni, kitapun susah sikitlah, cara mereka melihat hal-hal yang berkaitan dengan Islam ni terlalu jauh berbeza berbanding dengan kita.

Kita nak bincang, payah sikit dengan mereka, tapi jika ada ruang, tiada masalah, kita akan tetap bincang, Cuma kita lihat mereka ini satu kumpulan kecillah yang tak sepatutnya terlalu memberi kesan.

Kita mengajak semua pihak untuk memahami bahawa pandangan mereka ini ialah pandangan ganjil dan pinggiran, tak mewakili umat Islam yang lain,” tegas beliau.

Berbeza dengan MPM ujar beliau, yang melihat isu ini dari sudut teknikal atau penafsiran terma undang-undang, berkait dengan kuasa raja-raja, tetapi beliau yakin ianya boleh diselesaikan.