Wawasan Induk Negara Sejahtera Sempena Satu Abad PAS

3

KOTA BHARU – Bagi merealisasikan konsep Negara Berkebajikan, maka PAS mengemukakan “Wawasan Induk Negara Sejahtera 2051” atau singkatannya “WINS 2051”.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata,WINS 2051 ialah sebuah pelan induk jangka panjang bagi menggariskan kerangka bernegara berteraskan Islam sebagai panduan dalam pentadbiran, penggubalan dasar dan pembangunan secara berfasa sehingga tahun 2051.

“Pemilihan tahun 2051 mempunyai makna yang tersendiri kerana menandakan satu abad penubuhan PAS sejak tahun 1951, dan bersempena muktamar pada tahun ini kita mengadakan Sambutan 75 Tahun PAS.

“Pada peringkat Fasa 1 (Pemulihan Negara), penekanan diberikan untuk menyelesaikan permasalahan utama negara, disusuli usaha untuk mengangkat Malaysia sebagai “Negara Model” dalam Fasa 2, seterusnya memposisikan Malaysia sebagai “Negara Memimpin” di peringkat antarabangsa dalam Fasa 3.

“Dalam tempoh terdekat ini, WINS akan dikemas kini dengan menggariskan pelan tindakan yang lebih terperinci bersama penanda aras yang lebih jelas untuk mengukur pencapaian.

Dalam pada itu katanya, PAS akan bekerjasama dengan kalangan ilmuwan, profesional dan teknokrat untuk mengemas kini WINS, seterusnya mencari pendekatan terbaik untuk melaksanakannya pasca-PRU-16.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden PAS ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’ di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, Abdul Hadi berkata Manakala di peringkat negeri, beberapa pelan induk jangka panjang telah dirangka sebagai panduan tadbir urus dan pembangunan negeri, antaranya Dokumen Induk Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) di Kelantan, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) di Terengganu, Pelan Strategik The Greater Kedah di Kedah, serta yang terbaharu, Pelan Strategik Ekonomi dan Pembangunan Insan untuk Selangor Mampan (EHSAN) di Selangor.