DUNGUN – Institusi Pendidikan dan PASTI yang di bawah kelolaan PAS Terengganu diingatkan agar berwaspada dengan penularan Influenza.
Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Mohd Fauzi mengingatkan demikian supaya meningkatkan langkah pencegahan susulan peningkatan kes dan kluster Influenza yang berlaku di seluruh negara.
“Jangkitan Influenza mudah merebak melalui titisan pernafasan dan boleh menjejaskan kesihatan murid, guru dan kakitangan jika tidak dikawal dengan baik,” ujarnya.
Merangkap Ketua Pemuda PAS Dungun berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Dr Fakhruddin turut menyenaraikan beberapa langkah pencegahan utama yang perlu diamalkan di semua institusi pendidikan Islam bawah PAS Terengganu.
“Kerap membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer), mengamalkan etika batuk yang baik, seperti menutup mulut dan hidung ketika bersin dan batuk,”.
“Elakkan berada di tempat yang sesak dan berkongsi peralatan peribadi seperti tuala, sudu, gelas, atau sapu tangan, memakai penutup hidung dan mulut (mask) sekiranya bergejala,” nasihatnya.
Beliau juga berharap supaya segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala seperti demam, batuk, selesema atau sakit tekak dan mematuhi arahan kuarantin bagi kes Influenza sebagaimana disarankan oleh pegawai perubatan.
“Institusi disaran melakukan pemantauan, pengasingan pelajar bergejala dan memastikan mereka mendapatkan rawatan serta memastikan ruang kelas dan pejabat mempunyai pengudaraan yang baik serta dibersihkan secara berkala serta disinfeksi kawasan yang sering disentuh, seperti meja, tombol pintu, dan peralatan belajar,” jelasnya.
Katanya, Lajnah Kesihatan PAS Terengganu juga menyeru semua guru dan pentadbir institusi agar memantau kesihatan pelajar setiap hari dan segera memaklumkan kepada pihak kesihatan sekiranya terdapat tanda-tanda penularan jangkitan.
“Kesihatan anak-anak adalah amanah. Pencegahan awal mampu mengelakkan wabak daripada merebak,” katanya.