Oleh KAM
KUALA KANGSAR – Penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Barisan Nasional (BN), PAS, Parti Amanah Negara (PAN) dan calon Bebas.
Sehubungan itu, pengundi dan penyokong PAS dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) mahukan agar calon Muslimat PAS yang mewakili parti bertanding PRK tersebut menang.
Seorang pengundi, Roshie Razali, 34, dari Kampung Sayong mahukan Dr Najiha menang PRK ini kerana yakin dengan kemampuannya.
Katanya, calon PAS ini jika menang boleh meneruskan khidmat kepada rakyat kerana mempunyai kemampuan itu.
“Saya mengundi di sini (Sayong) dan saya kenal calon (PAS) ini dari jauh-jauh sahaja tetapi yakin dengan kemampuan dia sebagai seorang doktor, yang sudah pasti boleh memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat.
“Kalah menang itu ketentuaan Allah SWT tetapi gerak kerja perjuangan mesti disusun dengan baik untuk mencapai kemenangan,” ujarnya ketika ditemui Harakah pada hari penamaan calon, 5 Jun.
Ketika ditanya pertandingan empat penjuru pada PRK Kuala Kangsar ini antara calon BN, PAS, PAN dan Bebas, beliau menyatakan tetap istiqamah dengan perjuangan Islam.
“Saya tetap istiqamah dengan PAS walau pun ada parti lain yang bertanding seperti BN, PAN dan Bebas. Saya mahu PAS menang untuk Islam, Insya’Allah,” tegasnya.
Beliau yang kehilangan kaki kanannya akibat kemalangan sejak 12 tahun lalu kini bekerja sendiri membuat labu sayong sebagai punca pendapatan.
Seorang penyokong PAS OKU dari Ipoh, Rofiei Wari, 54, turut mengharapkan agar PAS menang PRK ini dan parti Umno ‘berkubur’ sebagai satu isyarat rakyat kepada kerajaan BN.
“Saya harap calon kita (PAS) kali ini Dr Najiha boleh menang PRK ini. Kira kuburkan BN dan tewaskan parti-parti lain dalam pertandingan empat penjuru ini.
“Saya datang seawal selepas solat subuh untuk ke tempat penamaan calon ini. Saya sokong PAS atas dasar keimanan dan walau pun pertandingan empat penjuru, harap PAS menang, Insya’Allah,” jelasnya.
Beliau yang datang ke PRK ini dengan kerusi roda semata-mata kerana mahu memberi sokongan moral kepada calon Muslimat PAS yang mewakili parti bertanding.
Menurutnya, peluang PAS menang PRK ini tetap ada dengan syarat gerak kerja parti dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin bagi memenangi hati rakyat.
“Seawal jam 5.00 pagi saya bersama suami dan anak-anak telah bertolak daripada Gerik untuk menyertai sama hari penamaan calon PRK Kuala Kangsar ini.
“Sebelum ini, semua tempat PRK saya akan pergi bersama keluarga dalam keadaan sihat tetapi kali ini saya terpaksa berkerusi roda sejak dua bulan lalu.
“Saya kenal calon (PAS) ini, dia Ketua Muslimat PAS Perak dan saya harap Allah SWT memberikan kemenangan kepada Islam,” kata Puan Salbiah Abd. Rani, 50, dari Gerik, Perak.
Beliau juga yang datang dengan berkerusi roda tidak menghalangnya demi menegakkan syiar Islam dan kemenangan parti PAS.
“Walau pun dengan berkerusi roda, saya tetap akan datang selagi mampu demi untuk meninggikan syiar Islam dan kemenangan PAS dalam pilihan raya (PRK) ini,” ujarnya ketika ditemui di lokasi hari penamaan calon tersebut.






























