Walaupun Masih Uzur, Presiden PAS Ziarah Teman, Ahli Yang Sakit

2821

Oleh : Khairul Nizam Abdullah
Gambar : Mawardi Salleh

KUALA NERUS – Walaupun diri beliau masih belum pulih sepenuhnya kesan pembedahan injap jantung baru-baru ini, namun Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak melupakan teman dan ahli yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.

Setiusaha PAS Kawasan Kuala Nerus, Ustaz Zakaria Dagang berkata, ia menggambarkan sifat keprihatinan serta kecaknaan yang tinggi, ada pada Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia itu.

“Dalam keadaan uzur dan masih dalam tempoh berpantang, Tuan Guru sanggup lagi meluangkan masa menziarahi sahabat-sahabat dan ahli-ahli yang sedang sakit,

“Dalam ziarah tersebut, Tuan Guru sempat memberi beberapa nasihat mengenai kaedah perubatan berkaitan malah Tuan Guru juga sempat mentahnik cucu Ustaz Abu Bakar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Dato’ Seri Tuan Guru mengunjungi mantan Exco Kerajaan Negeri Dr. Ustaz Abu Bakar Abdullah dan bekas guru Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah (MTT) Darul Iman Ustaz Awang Embong, di sini hari ini, Rabu 2 Ogos.

Menurut Ustaz Zakaria, Dr. Abu Bakar yang juga mantan Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, diserang penyakit ‘angin ahmar’ tahun lalu, kini berehat dirumahnya di Kampung Gemuroh.

Manakala Ustaz Awang kini terlantar di rumahnya di Kampung Paya Datu, kerana serangan sakit yang sama, sejak empat bulan lalu.

Turut sama dalam ziarah itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Nerus, YB Dr Alias Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.