Wajarkah Konsert ‘Lamb Of God’ dianjurkan?

1079

Malaysia sudah dijangkiti penyakit hiburan keterlaluan dengan membawa masuk kumpulan rock metal dan muzik yang ekstrem serta lagu-lagu yang membawa mesej yang negatif.

Dengan penganjurannya konsert kumpulan Lamb of God daripada Amerika yang dijadualkan pada 28 September depan, dibimbangi akan menjerumuskan anak-anak muda negara ini dan umat Islam dengan kerosakan akhlak dan aqidah yang lebih parah.

tsang-Lamb-of-God-Columbus-OH-2012Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa sedih sekiranya kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia menganjurkan konsert kumpulan muzik yang membawa muzik keras dan melampau itu.

“DPPM mendesak Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia agar menyatakan pendirian terhadap konsert ini. Sepatutnya Kementerian bertanggungjawab membudayakan masyarakat dengan aktiviti yang membina minda dan berfaedah, bukannya memburukkan lagi keadaan di negara ini.

“Dalam keadaan anak-anak muda yang hilang arah dan haluannya, kerajaan pula turut menyumbang dengan penganjuran konsert kumpulan rock metal seperti ini. Apa untungnya kepada masyarakat terutama kepada aqidah umat Islam serta pembangunan syakhsiyah umat Islam di negara ini?,”soal Setiausaha DPPM Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Beliau dalam satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media pada Khamis 29 Ogos, turut mempersoalkan, mengapa pemimpin negara sanggup merosakkan masyarakat hanya semata-mata mahu memuaskan kehendak segelintir peminat yang gila?

DPPM menegaskan, sekiranya kerajaan benar-benar membela rakyat, agama dan membina generasi muda di negara ini, kerajaan perlu bertegas tidak membenarkan artis seumpama ini diberi ruang mengadakan konsert di Malaysia.

“Banyak lagi artis yang sopan, memenuhi citarasa masyarakat Malaysia dan membawa mesej positif boleh di bawa masuk mengadakan konsert di negara ini selain artis-artis liar dan merosakkan,”jelasnya