Wabak Denggi; Warga Bandar Diseru Gotong Royong Bersama Penduduk Losong

1746

Oleh : Ahmad Shah Muhamed

Bersama Minggu ini kita digemparkan dengan berita wabak denggi yang sedang mengamuk di Terengganu khususnya di beberapa lokasi di kawasan Kuala Terengganu.

Beberapa lokasi di dalam Dun Bandar juga termasuk didalam senarai hitam diserang wabak yang bahaya dan serious ini. Denggi bukan sahaja boleh menyebabkan serangan demam yang teruk bahkan boleh membawa kepada maut.

Tragedi sedih yang menimpa satu keluarga di Tanjung Kuala Terengganu apabila salah seorang anggota keluarganya yang merupakan seorang murid bakal mengambil UPSR tahun ini telah menjadi korban akibat denggi.

Denggi yang berpunca dari nyamuk aedes tidak pernah mengenal usia dan taraf kehidupan.Kita dapati pihak berwajib telah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan wabak ini dapat dibendung.

Usaha ini akan menjadi sia-sia sekiranya segala kempen kesedaran dan penerangan yang dibuat tidak membuahkan kesedaran pada masyarakat untuk mengambil tindakan memastikan tiada sebarang tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Oleh itu saya menyeru kepada semua warga bandar untuk turut sama prihatin dengan memastikan rumah dan kawasan persekitaran bebas dari punca pembiakan aedes.

Ini selaras dengan ajaran Islam yang mementingkan kebersihan diri, keluarga dan tempat kediaman.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “kebersihan itu sebahagian daripada iman”.

Kebersihan mestilah menjadi amalan hidup diri dan keluarga kita bahkan juga wajib diamal oleh seluruh anggota masyarakat.

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita14/Ustaz%20Ahmad%20Shah.jpgSehubungan dengannya, marilah kita sama-sama memberi kerjasama pada pihak yang berwajib didalam usaha untuk menjadikan rumah dan persekitarannya selamat dari nyamuk aedes dengan kita memusnah tempat pembiakannya.

Amat tepat sekali progam gotong royong kebersihan yang dianjur oleh Pemuda Dun Bandar di kawasan Losong yang merupakan salah satu dari kawasan hitam wabak denggi.

Justeru itu saya mengambil kesempatan ini menyeru seluruh warga Losong khususnya dan warga bandar amnya untuk turut serta menjayakan progam gotong royong yang diadakan Jumaat ini 15/1/2016 bermula jam 8.00 pagi.

Marilah kita bekerjasama membentuk keluarga yang sihat, persekitaran yang selamat dan masyarakat yang prihatin.
Persekitaran bersih tiada aedes…….Tanpa aedes tiada denggi.

***Ustaz Ahmad Shah Bin Muhamed ialah Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Bandar, PAS Kawasan Kuala Terengganu.