Terengganu, Malaysia

Video askar AS kencingkan mayat Taleban disiasat

Video askar AS kencingkan mayat Taleban disiasatWASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat sedang menyiasat video yang tersebar dalam Internet yang didakwa menunjukkan anggota marinnya membuang air kecil ke atas mayat pemberontak Taleban di Afghanistan.

Video itu menunjukkan empat individu yang memakai seragam tentera Amerika membuang air kecil ke atas tiga mayat berdarah yang bergelimpangan di atas tanah.

Individu tersebut sedar perbuatan mereka sedang dirakam.

‘Semoga anda meniti hari yang bahagia sahabat,’ kata seorang daripada askar itu.

Pentagon belum lagi mengesahkan kesahihan video itu tetapi jurucakapnya, Encik John Kirby, berkata:

‘Walau apa pun keadaannya atau siapa pun di dalam video itu, ia adalah perbuatan hina, jelik dan tidak boleh diterima sesiapa saja dalam tentera. Ia memualkan.’

Video itu disiarkan dalam laman web Live Leak.

Jika rakaman itu dapat disahkan, sudah tentu ia akan mencetuskan kemarahan Dunia Islam dan mengembalikan ingatan terhadap kes penderaan askar Amerika ke atas tahanan Iraq di penjara Abu Ghraib.

Seorang pegawai tentera yang tidak mahu dikenali berkata bahawa helmet yang dipakai dan senjata yang dibawa askar berkenaan menunjukkan mereka merupakan anggota pasukan elit penembak tepat.

Sementara itu, Majlis Perhubungan Amerika-Islam (CAIR) mengutuk tindakan menghina mayat yang dilakukan oleh anggota marin Amerika itu.

‘Jika disahkan tulen, video itu menunjukkan kelakuan yang sama sekali tidak layak dilakukan oleh pegawai tentera Amerika dan ia pada akhirnya boleh membahayakan nyawa askar dan orang awam lain,’ kata CAIR dalam kenyataannya.

‘Kami percaya insiden yang menjengkelkan ini akan disiasat dengan segera, secara telus dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan hasil siasatan itu.

‘Mana-mana pihak yang bersalah harus menerima hukuman setimpal yang dibenarkan di bawah Kod Seragam bagi Keadilan Tentera dan oleh undang-undang Amerika,’ tambah kenyataan itu.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pentagon pula berkata:

‘Walaupun kami belum lagi mengesahkan asal atau ketulenan video ini, kelakuan yang ditunjukkan tidak konsisten dengan nilai-nilai utama kami dan tidak mencerminkan keperibadian anggota marin kami. Perkara ini akan disiasat secara menyeluruh.’

Sekitar 20,000 anggota marin Amerika kini dikerahkan di Afghanistan, dengan sebahagian besar ditempatkan di wilayah Kandahar dan Helmand.

Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mempunyai sekitar 130,000 askar di Afghanistan untuk menentang pemberontak Taleban.

Amerika dan sekutu pakatannya merancang akan menyerahkan kawalan keselamatan kepada pasukan keselamatan Afghanistan menjelang akhir 2014. — AFP.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan