‘Vellfire’ Tahun 2010 Beli Ansuran Enam Kali Bayar

445

DUNGUN – Menjawab tuduhan pihak tertentu yang mempersoalkan penggunaan ‘kenderaan mewah Vellfire’, YB Ustaz Wan Hassan Mohd Ramly menjelaskan, MPV itu asalnya dibeli untuk kegunaan PAS Kawasan Dungun berharga RM 80,000 dengan ansuran empat kali bayar kepada pemiliknya.

“Kereta tu saya keluaran tahun 2010, ianya kerap mengalami masalah, Alhamdulillah saya cuba baiki sedikit demi sedikit.

“Oleh kerana PAS Kawasan Dungun ingin menjualnya, menawarkan harga RM60,000 saya beli dan bayar sebanyak enam kali kepada PAS Kawasan,

“Pada 30 April 2025 ia mengalami kerosakan yang teruk pada enjin dan menyebabkan enjin ini terpaksa di tukar baru,” jelas beliau.

Yang Dipertua PAS Dungun yang juga Ahli Parlimen itu berkata, pada 1 September sekitar jam 12.00 tengah hari, kenderaan tersebut terbakar di Kilometer 330.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

“insiden berlaku berhampiran ‘Exit Paka’ ketika saya memandu pulang dari Kuantan, saya memandu bersama isteri selepas menziarahi ahli keluarga di Kemaman.

“Tiba-tiba enjin kereta saya mati dan keluar asap dari bahagian hadapan, saya segera berhenti di tepi jalan, matikan enjin dan hubungi peronda LPT serta pegawai saya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ustaz Wan menambah, pada saat api mula merebak, beliau dan isteri hanya sempat menyelamatkan beberapa barangan di bahagian belakang kenderaan.

“Bahagian depan tidak dapat diselamatkan kerana api terlalu cepat marak, Alhamdulillah, saya dan isteri selamat tanpa sebarang kecederaan,” jelasnya.

Oleh itu, Ustaz Wan Hassan merakamkan penghargaan kepada pasukan peronda LPT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kerteh, serta anggota polis dari Kemaman, Kerteh dan Dungun yang hadir menguruskan kebakaran tersebut.

“Saya juga berterima kasih kepada orang awam yang berhenti dan membantu semasa kejadian. Tanpa mereka, keadaan mungkin lebih sukar,” katanya.

Mengulas insiden berkenaan, beliau menekankan kepentingan menjaga keselamatan kenderaan sebelum menggunakan lebuh raya.

“Apabila ada tanda amaran pada enjin, segera berhenti dan buat pemeriksaan. Jangan ambil mudah kerana nyawa lebih utama,” ujarnya sambil menambah beliau akan membawa isu keselamatan kenderaan di lebuh raya untuk perhatian Parlimen.

Bagi beliau, peristiwa itu dilihat sebagai ujian dan peringatan daripada Allah SWT.

“Kita merancang, Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang. Saya reda dengan ujian ini dan mengambilnya sebagai peringatan untuk lebih berhati-hati,” katanya.