KUALA NERUS – Tidak pernah berlaku sebelum ini, seluruh masyarakat dunia simpati terhadap Palestin, tanpa mengira negara, agama dan kaum, mereka kini menzahirkan sokongan terhadap negara umat Islam itu yang dizalimi zionis Israel.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, apa yang berlaku itu telah ‘menjentik’ sifat kemanusiaan apabila saban waktu warga Gaza berhadapan kezaliman, pengusiran dan pembunuhan.
“Simpati dan suara pertolongan yang ditunjukkan oleh seluruh masyarakat dunia merupakan satu rekod yang sama-sama kita lihat pada hari ini.
“Tidak pernah berlaku dalam konflik yang berlaku di Afrika, di Far East di negara sebelah timur pertengahan selatan dan lain-lain tempat sama ada Timur, Asia Barat dan lain-lain yang menarik perhatian seluruh masyarakat dunia tanpa mengira sama ada mereka agama apa, negara mana atau blok mana, semua begitu terkesan,” ujarnya.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu, berkata demikian ketika berucap menyampaikan Perutusan Khas di Himpunan Malam Palestin : Bahu Untuk Gaza Sempena Program Karnival Himpunan Belia Terengganu (HEBAT 2.0) di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini, semalam.


Oleh itu, melalui doa yang berterusan dengan kefahaman yang jitu dan semangat yang kukuh, beliau mengajak seluruh rakyat Terengganu bersolidariti dengan Palestin.
“Marilah sama-sama kita realisasikan Bahu Untuk Gaza. Mengambil semangat ini juga, golongan belia yang ingin kita lahirkan bukan sahaja berperanan sebagai pelapis kepimpinan masa depan, bahkan ianya adalah generasi perjuangan ummah.
“Saya mengharapkan penganjuran HEBAT 2.0 ini, akan menjadi salah satu platform dalam membina jati diri anak muda di Terengganu khususnya dan anak muda di seluruh negara serta seluruh dunia agar terus menyumbang kepada masyarakat, agama dan negara,” katanya.
Justeru, beliau turut menyeru agar program pada malam tersebut menjadi manifestasi cinta kepada Palestin.
“Tanda kesyukuran kita sebagai rakyat yang masih lagi dapat bergerak dan mencari jalan untuk membantu saudara-saudara kita,” ujarnya penuh pengharapan.




























