Rafizi Jangan Kelirukan Rakyat!

487

KUALA TERENGGANU – PAS menyifatkan kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mendakwa negeri-negeri Pantai Timur menerima manfaat pembangunan bernilai RM84 bilion melalui projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai tidak tepat dan mengelirukan rakyat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, YB Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, berdasarkan laporan rasmi kerajaan dan syarikat pelaksana, kos sebenar projek ECRL hanyalah RM74.96 bilion, bukan RM84 bilion seperti didakwa Rafizi.

Menurutnya, tidak wajar membandingkan satu projek tunggal seperti ECRL dengan ratusan projek mega yang telah dan sedang dilaksanakan di Pantai Barat sejak merdeka.

“Antara projek utama di Pantai Barat termasuk, MRT Kajang Line (RM21 bilion), MRT Putrajaya Line (RM56.93 bilion), MRT3 Circle Line (sehingga RM45 bilion), LRT3 (RM16.63 bilion), KLIA (RM10 bilion), KLCC (RM6 bilion), West Coast Expressway (RM6.9 bilion) dan PLUS Highway (RM5.9 – 8.8 bilion),” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu menjelaskan, jumlah keseluruhan projek utama ini sahaja melebihi RM160 bilion, iaitu lebih dua kali ganda nilai keseluruhan ECRL, belum termasuk pelabuhan utama seperti Port Klang, Penang Port dan projek naik taraf jalan, hospital serta universiti di Lembah Klang.

“ECRL hanyalah satu langkah kecil untuk menyeimbangkan semula pembangunan negara, bukan “hadiah besar” yang mengimbangi kelebihan berpuluh tahun pembangunan di Pantai Barat.

“Hakikatnya, jurang pembangunan antara Pantai Barat dan Pantai Timur masih luas, bukan kerana tiada projek besar di Pantai Timur, tetapi kerana berdekad-dekad tumpuan pembangunan tertumpu di Barat, membentuk ekosistem logistik, pelabuhan dan perindustrian yang jauh lebih menarik kepada pelabur,” jelasnya.

Tambah beliau, tumpuan pembangunan yang terlalu berat sebelah ke Pantai Barat telah membentuk ekosistem logistik, pelabuhan dan perindustrian yang jauh lebih menarik kepada pelabur berbanding Pantai Timur.

Dato’ Amzad turut menegur kerajaan supaya tidak mengabaikan hak pembangunan rakyat Pantai Timur kerana dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK) ke-13 sendiri menunjukkan unjuran kadar pertumbuhan wilayah ini kekal terendah berbanding wilayah lain, iaitu hanya sekitar 4.7% berbanding 5% hingga 5.2% di wilayah lain.

Justeru itu, beliau menyeru kerajaan pusat agar berhenti menggunakan angka mengelirukan dan menumpukan usaha ke arah pembangunan wilayah yang adil dan seimbang supaya rakyat Pantai Timur turut menikmati peluang ekonomi setanding negeri-negeri lain di Semenanjung.