KUALA TERENGGANU – Usul yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi telah diterima oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri (Sidang DUN) sebulat suara.
“kami telah membawa satu usul tergempar dan usul itu telah dibahas dan diterima iaitu usul kita menolak ICERD,
“bukan sahaja menolak tetapi mengutuk mereka yang menyokong ICERD ini sehingga ia menjadi satu polemic yang berterusan sehingga ke saat ini,” jelasnya.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu berkata demikian pada sidang media di lobi DUN, Wisma Darul Iman semalam, 25 November.
Beliau menyifatkan ianya adalah satu sejarah apabila usul tersebut diterima sebulat suara, termasuk oleh ADUN pembangkang dari Umno.
Usul yang dibawa oleh beliau adalah sebagaimana berikut;
Usul Di Bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-Peraturan Dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu
Tuan YDP,
Adalah saya Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Batu Buruk mohon mencadangkan,
“Bahawa persidangan hari ini hendaklah ditangguhkan mengikut Fasal 30, Perkara-Perkara dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan Dewan yang mulia ini merundingkan isu ICERD agar dewan yang mulia ini menyatakan pendirian jelas untuk menolak sebarang usaha ratifikasi ICERD dan mengutuk usaha meratifikasikan ICERD”.
Tuan Yang Dipertua,
1. Usaha Putrajaya untuk menerima deklarasi ICERD dengan membuat ratifikasi mutakhir ini adalah amat memeranjatkan dan tidak boleh diterima oleh akal yang waras. Ia adalah langkah sumbang yang mampu merobohkan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh semua kaum ketika Persekutuan Tanah Melayu diistiharkan ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957.
2. ICERD iaitu singkatan kepada International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau dalam Bahasa Melayu, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum, adalah satu konvensyen di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia telah dibuka untuk ditandatangani oleh negara-negara sejak tahun 1965, dan dikuatkuasakan pada 4 Januari 1969.
3. ICERD pada asalnya adalah suatu langkah yang diambil oleh PBB untuk mempromosikan sikap toleransi sesama pelbagai bangsa, agama dan pegangan politik negara-negara yang mengamalkan dasar anti-semitik, dasar nasionalisme melampau, apartheid dan lain-lain, sehingga menimbulkan ketegangan dan menafikan hak-hak asasi manusia.
4. Malaysia tiada keperluan untuk menandatangani konvensyen ICERD. Ini kerana Malaysia sudah menunjukkan kepada dunia tentang keunikan formula Malaysia, iaitu kontrak sosial yang telah dimaterai semenjak kemerdekaan. Rusuhan kaum pada tahun 1969 ditangani dengan baik, tanpa menzalimi bangsa atau agama yang tertentu. Akhirnya, Malaysia dikenali di persada dunia sebagai negara yang unik kerana rakyatnya yang terdiri daripada masyarakat majmuk berjaya hidup berganding bahu, harmoni, saling hormat menghormati dan tidak memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing menggunakan medium keganasan terhadap kaum yang lain.
Sepatutnya belajar dengan kita mengenai perkara berkaitan hak asasi manusia dan menguruskan kepelbagaian bangsa dan agama. Malangnya dengan menandatangani ICERD, kita pula meminta PBB mengajar kita. Negara seperti Israel dan Myanmar sepatutnya digesa untuk menandatangani ICERD, bukan Malaysia.
5. Malaysia tidak pernah mengamalkan dasar menindas agama dan bangsa yang lain. Walaupun agama Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun agama-agama lain bebas diamalkan. Berteraskan agama Islam, toleransi antara agama dan bangsa telah sebati dengan jiwa orang Melayu. Sepanjang sejarah Islam sejak kurun ke-6 lagi, iaitu pada zaman Baginda Rasulullah SAW, tamadun Islam sahajalah yang berjaya mewujudkan secara nyata kebebasan beragama dan keharmonian sesama pelbagai bangsa. Ini kerana mereka berpegang kepada Firman Allah dalam surah al-Hujuraat; ayat 13.


Memberikan bantuan yang lebih kepada golongan yang kurang berkemampuan adalah satu langkah untuk mewujudkan keadilan sosial dalam skop yang lebih besar. Adil bukanlah semata-mata bermakna membahagikan sama banyak dalam semua perkara.
Apatah lagi dalam konteks Malaysia, kontrak sosial pada awal kemerdekaan adalah merupakan persetujuan bersama oleh semua pimpinan utama setiap kaum.
7. Ini menunjukkan bahawa golongan minoriti di Malaysia bukan ditindas. Bahkan golongan yang kurang bernasib baik ialah penduduk asal tanah Melayu sebelum merdeka iaitu golongan Bumiputra yang merupakan majoriti penduduk Malaysia.
8. Langkah menerima deklarasi ICERD menunjukkan tindakan terdesak Putrajaya tunduk kepada desakan melampau daripada ahli politik yang mewakili kaum tertentu dalam parti pemerintah, sehingga sanggup menceroboh kontrak sosial dan merosakkan kepercayaan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negara kita. Lebih daripada itu, ia mencabar kedaulatan institusi ‘Istana’ secara langsung apabila melibatkan perkara berkaitan agama Islam dan hak istimewa orang Melayu.
9. Saya mengambil maklum pendirian yang telah dinyatakan oleh Pejabat Perdana Menteri untuk tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination-ICERD) pada 23 November 2018 yang lalu. Saya juga mengambil maklum, kenyataan susulan selepas kenyataan Pejabat Perdana Menteri di kalangan menteri kabinet masih lagi kabur dan membimbangkan.
10. Dengan ini, saya mengusulkan kepada Dewan yang mulia ini, agar menerima usul ini untuk dirundingkan. Sekaligus menolak sebarang usaha Putrajaya untuk menandatangani ICERD walaupun dengan membuat ratifikasi. Juga mengutuk usaha yang dilakukan bagi meratifikasikan ICERD. Ia adalah langkah ke belakang, membahayakan masa depan negara dan boleh mencetuskan keharmonian masyarakat majmuk.
11. Isu ini melibatkan perkara-perkara tertentu kerana melibatkan pencabulan kontrak sosial yang telah dipersetujui semua kaum, melibatkan kepentingan orang ramai apabila melibatkan isu hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan perkara ini perlu disegerakan kerana ia menyentuh pelanggaran kedaulatan institusi istana dalam melibatkan perkara berkaitan agama Islam dan hak istimewa Melayu.
Maka saya berpandangan bahawa usul ini melibatkan perkara tertentu, kepentingan ramai serta perlu disegerakan.
Yang mengusulkan,
Y.B MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Batu Buruk
25 November 2018




























