Lebih 2,000 Anak Muda Gegar Besut Sertai Konvoi HIMPIT 2026

58

BESUT – Lebih 2,000 anak muda dari seluruh Terengganu menyertai konvoi Himpunan Pemuda Islam Terengganu 2026 yang berlangsung di Limbongan, Besut.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Ridhuan Abdul Karim berkata, peserta mula memenuhi dataran bersebelahan Masjid Al-Islah sejak tengah hari.

Menurutnya, sekitar jam 12 tengah hari, kawasan masjid berkenaan sudah dipenuhi peserta konvoi yang hadir bersama kontinjen dari lapan daerah.

“Alhamdulillah, sekitar 2,000 anak muda hadir ke Besut bagi menyertai konvoi HIMPIT 2026.

“Kontinjen daripada lapan daerah turun dengan semangat yang cukup baik. Ini menunjukkan anak muda Islam Terengganu masih kuat dengan disiplin, ukhuwah dan kesediaan untuk bergerak bersama,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

Ridhuan berkata, kehadiran besar itu menjadi gambaran awal kekuatan Pemuda PAS Terengganu dalam menyusun gerak kerja anak muda di seluruh negeri.

Katanya, HIMPIT 2026 menjadi medan penting untuk mengumpul kekuatan, merapatkan saf dan membina kesatuan fikrah dalam kalangan pemuda.

“Dalam suasana politik yang semakin mencabar, pemuda perlu jelas hala tuju. Kita tidak boleh bergerak secara longgar atau bermusim.

“Fikrah mesti disatukan, gerak kerja mesti disusun dan tenaga anak muda mesti digerakkan dengan lebih serius, termasuk sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda PAS Terengganu mahu memastikan anak muda yang hadir bukan hanya ramai dari segi jumlah, tetapi turut memahami peranan mereka dalam perjuangan, dakwah dan khidmat masyarakat.

Menurut Ridhuan, kekuatan sebenar pemuda terletak pada kejelasan fikrah, kesetiaan kepada jamaah dan kesediaan turun bekerja di lapangan.

“Semangat yang kita lihat di Besut hari ini perlu dibawa pulang ke kawasan masing-masing.

“Selepas himpunan ini, tugas pemuda ialah terus mendekati masyarakat, memperkukuh organisasi dan menjadi tenaga yang membantu perjuangan di setiap peringkat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua peserta, petugas, urus setia dan pihak keselamatan yang membantu memastikan perjalanan konvoi serta himpunan berjalan lancar.

Ridhuan berkata, HIMPIT 2026 diharap menjadi titik penting untuk menyegarkan semangat anak muda Terengganu dalam menghadapi cabaran politik dan masyarakat pada masa depan.