Mahasiswa Terengganu Tuntut Keadilan Dalam Kes Pelajar IPTA Ditampar

31
Muhammad Fathurrahman

KUALA TERENGGANU – Mahasiswa Terengganu menuntut keadilan terhadap tindakan seorang pemimpin Umno yang didakwa menampar seorang penuntut IPTA dikhalayak ramai, disifatkan sebagai bukan sahaja menjatuhkan maruah, malah memberi kesan kepada keluarganya.

Pengerusi Persatuan Ikatan Generasi Anak Terengganu (I-GenT), Muhammad Fathurrahman Mohd Ezam berkata, tindakan yang melampaui batas itu, tidak boleh dianggap sebagai gurauan atau perkara biasa.

“Perbezaan pendapat adalah perkara biasa, namun bertindak sehingga mengaibkan individu lain bukanlah sesuatu yang boleh diterima.

“Mahasiswa memberi perhatian serius terhadap perkara yang melibatkan hak dan maruah mereka kerana setiap individu berhak dilayan dengan hormat tanpa mengira latar belakang atau pandangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan penjelasan yang dikongsikan mangsa menerusi beberapa siri video di media sosial, mahasiswa berkenaan hanya berusaha membersihkan nama baik dirinya serta keluarganya dan tidak pernah mengaitkan perkara itu dengan mana-mana organisasi atau parti politik.

Muhammad Fathu menegaskan, mahasiswa hari ini bukanlah generasi yang manja atau tidak boleh menerima teguran, sebaliknya mereka semakin berani menyuarakan pandangan terhadap isu yang melibatkan keadilan dan hak asasi.

Menurutnya, suara mahasiswa yang semakin bergema terutama di media sosial membuktikan generasi muda kini mempunyai kesedaran serta keberanian untuk menegakkan keadilan terhadap perkara yang selama ini dianggap biasa atau dinormalisasikan dalam masyarakat.

“Suara dan pandangan mahasiswa tidak boleh dipandang ringan kerana mereka mempunyai akses kepada pelbagai sumber maklumat yang menjadikan pemikiran mereka lebih matang dan kritis.

“Bahkan, Islam turut menggalakkan perbincangan serta meraikan kepelbagaian pandangan dalam masyarakat selagi tidak bercanggah dengan syariat,” katanya.

Malangnya kata beliau, banyak isu melibatkan mahasisiwa sebelum ini, ‘disenyapkan’ dan tidak diketengahkan, menyebabkan timbul rasa takut untuk golongan terbabit tampil bersuara.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh tanpa sebarang gangguan yang boleh menjejaskan proses keadilan atau keharmonian masyarakat.

“Saya berharap siasatan yang sedang dijalankan dapat diselesaikan secara adil dan telus agar semua pihak memperoleh keadilan yang sewajarnya.

“Sebarang tindakan yang menjatuhkan dan mengaibkan individu tidak boleh dianggap remeh. Keadilan perlu ditegakkan supaya hak serta maruah mahasiswa sentiasa terpelihara,” tambah beliau