Umno Terengganu Perlu Lihat Muafakat Dalam Konteks Nasional

142

Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU – Penyatuan parti-parti politik Melayu perlu dijayakan dengan melihat konteks yang lebih besar dan masa depan serta perpaduan rakyat di negara ini.

Perwakilan Terengganu, YB Ustaz Satiful Bahari Mamat menegur Umno Terengganu agar tidak melihat siasah dalam ruang yang sempit.

Menurutnya, politik dan pilihan raya bukan hanya semata-mata mahu kembali menguasai negeri, sehingga mengenepikan agenda yang lebih utama.

Sebaliknya, kata beliau, matlamat yang lebih penting ialah dapat menerajui kerajaan persekutuan melalui penguasaan majoriti pemimpin Islam

“Di negeri Terengganu dalam keadaan PAS Terengganu yang memiliki 22 kerusi, dan Barisan Nasional (BN) memiliki 10 kerusi, mereka menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk menolak Muafakat Nasional,

“Kerana mereka meletakkan harapan untuk kembali memerintah negeri ini. Sepatutnya dalam mengambil kira untuk matlamat yang lebih besar menerajui pemerintahan di peringkat pusat, perkara-perkara ini tidak sepatutnya menjadi perkiraan dan perhitungan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Usul Terima Kasih dan Perbahasan Ucapan Dasar Presiden di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67, di Duyong Marina & Resort, di Pulau Duyong, di sini, pada hari ini.

Oleh itu, beliau turut menyarankan kepada PAS Pusat supaya memperkasakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) .

“mempertingkatkan usaha-usaha yang kita lakukan selama ini untuk menarik mereka agar turut bersama dengan matlmat dan perjuangan yang kita hasratkan,” ujarnya.

Justeru kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu itu, penyatuan yang menjadi agenda PAS adalah mengambil kira jumlah penduduk di Malaysia yang majoritinya merupakan Melayu Islam.