Oleh KAM
KUALA TERENGGANU – PAS menegaskan tidak akan bersama dengan Deklarasi Rakyat ‘tajaan’ Tun Dr Mahathir kerana berpendapat agenda itu bagi mengembalikan kekuatan Umno semakin lemah.
Justeru, Naib Presiden PAS, Dato’ Nik Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan jika mana-mana parti yang bersama deklarasi tersebut maknanya akan menjayakan agenda Mahathir menyelamatkan Umno.
Katanya, Umno sekarang telah memasuki zaman akhir pemerintahan sebagaimana diakui oleh Tun Dr Mahathir sendiri.
Menurutnya, bekas Perdana Menteri 22 tahun itu kini berusaha bagi mengembalikan semula kekuatan Umno yang akan hancur di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.


“Sebab dia (Mahathir) tahu dengan Najib kekal sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia, Umno ini akan mati.
“Sebab itu, bagi kita (PAS) sesiapa yang turut Mahathir dalam ‘Deklarasi Rakyat’ itu mereka sebenar menjadi alat perkakas Mahathir. Sebab, Mahathir hendak buang Najib itu bukan hendak jaga negara tetapi hendak jaga Umno.
“Jika Najib kekal Umno akan kalah dalam pilihan raya akan datang. Jika kita turut Mahathir maknanya kita menjayakan agenda Mahathir untuk menyelamatkan Umno. PAS tidak turut Mahathir,” tegasnya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian pada Majlis Iftar Jamaie PAS Kawasan Hulu Terengganu di Restoran Matahari Oriental Cuisine, Kuala Terengganu pada Sabtu 11 Jun.


Katanya, tidak mustahil parti Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan Barisan Nasional (BN) itu akan hancur pada PRU14.
Persoalannya, kata Dato’ Nik Amar, setelah Umno itu hancur ke mana arah sokongan orang Melayu Islam dari parti tersebut memilih haluannya.
“Orang Umno yang kuat semangat Melayunya, yang jiwa Melayu itu tidak akan masuk parti DAP. Sebab, bagi orang Melayu bahawa DAP adalah parti ‘cauvanis’.
“Orang Melayu tidak akan masuk PKR (Parti KeADILan Rakyat) dengan mudah sebab parti PKR itu parti campur. Melayu ada, Cina ada, India ada dan bukan parti Melayu.
“Jadi orang Malayu itu akan cari PAS. Sebab PAS ini parti Melayu Islam tulin. Orang Umno yang bersemangat Islam, ada kesedaran Islam dan orang macam ini lebih jelas lagi akan datang kepada PAS.
“Sebab parti PAS ini memperjuangkan Islam. Dia (orang agama) tidak akan sokong DAP, tidak akan sokong PKR dan tidak akan sokong Parti Amanah Negara (PAN).
“Akan sampai suatu masa orang Umno yang kecewa dengan Umno apabila parti Umno pecah, yang hancur akan datang kepada kita (PAS),” jelasnya dihadapan 130 orang hadirin.
Menurutnya, pendekatan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang digagaskan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bakal membawa PAS ke arah memerintah negara.




























