Ia juga menegaskan roket jarak jauh yang bakal dilancarkan pada masa depan bukan hanya mampu membawa satelit malah kepala peledak yang disasarkan ke arah “musuh ketat”nya itu.
Pesuruhjaya Pertahanan Kebangsaan Korea Utara semalam berkata:
“Kami tidak akan berselindung, pelbagai satelit dan roket jarak jauh yang bakal dilancarkan oleh Korea Utara serta ujian nuklear dalam fasa terbaru perjuangan menentang anti-Amerika, akan disasarkan ke arah Amerika, musuh ketat rakyat Korea.”
“Pertikaian dengan Amerika harus diselesaikan menggunakan kekerasan, bukan dengan kata-kata,” tambah suruhanjaya itu.
Kelmarin, Kementerian Luar Korea Utara berikrar memantapkan program senjata nuklearnya menyusuli tindakan Majlis Keselamatan PBB mengumumkan sekatan tambahan.
Agensi angkasa negara Korea Utara, sebuah bank, empat syarikat dagangan dan empat individu telah dimasukkan ke dalam senarai sekatan berkenaan.
Mengulas, utusan Amerika ke Korea Utara, Encik Glyn Davies, menggesa negara komunis itu usah mencabar masyarakat antarabangsa dengan melancarkan ujian nuklear ketiga.
“Sama ada Korea Utara melancarkan ujian itu atau tidak, ia bergantung sepenuhnya kepada Korea Utara.
“Kami berharap mereka tidak akan melakukannya. Kami menggesa mereka agar jangan melakukannya. Ia satu kesilapan dan peluang yang sia-sia, jika mereka melakukannya,” kata Encik Davies kepada wartawan selepas bertemu rakan sejawatannya di Seoul, semalam.
Jurucakap Kementerian Luar Korea Selatan telah turut menyuarakan rasa kesal atas ancaman yang dikeluarkan oleh Korea Utara itu dan menggesa Pyongyang mendengar “amaran berterusan” masyarakat antarabangsa agar menghentikan tindakan provokatif.
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Encik Wi Yong-Seop, pula berkata Seoul percaya Korea Utara mempunyai keupayaan melancarkan ujian nuklear “pada bila-bila masa yang dimahukan pemimpinnya”.
Korea Utara telah menjalankan ujian nuklear pada 2006 dan 2009, selepas PBB mengumumkan sekatan ke atas negara itu.
Beberapa pakar meramalkan, bagi ujian nuklear ketiga, Korea Utara bakal menguji pula bom uranium berbanding bom plutonium dalam dua ujian sebelum ini. – AFP.









