KUALA TERENGGANU – Ucapan perbahasan Belanjawan 2026 oleh Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merupakan dokumen pemikiran negara Islam moden yang menyatukan antara politik, akidah dan moral kenegaraan.
Ketua Penerangan, Dewan Ulama PAS Pusat, Dato’ Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata ucapan bukan sekadar ulasan politik atau ekonomi, tetapi suatu khutbah tamadun yang menyeru agar Malaysia kembali kepada asas taqwa, keadilan, amanah dan keberkatan sebagai asas kekuatan negara.
“Dewan Ulamak PAS Pusat menzahirkan sokongan penuh terhadap ucapan perbahasan Belanjawan 2026 oleh Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS,
“yang menyerlahkan pandangan Rabbani dalam menilai dasar ekonomi dan arah tuju pemerintahan negara berdasarkan tuntutan al-Quran dan Sunnah,” ujarnya.
Ustaz Mohd Nor yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPPNT) berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini semalam.
Menurutnya, Tuan Guru Presiden menegaskan bahawa kemakmuran sejati lahir daripada iman dan taqwa, bukan dari angka bajet atau pinjaman asing.
“Solusi Islam adalah kembali kepada Syariat dan Tadbir Rabbani yang mengajak kita kembali kepada prinsip negara bertaqwa yang diasaskan pada keadilan (‘adl), keseimbangan (wasatiyyah) dan ihsan,” tegasnya.
Katanya, DUPP berpandangan bahawa ucapan Presiden PAS ini adalah rangka besar bagi pembinaan Negara Rahmah, berpaksikan Islam sebagai asas perundangan, ekonomi, dan akhlak kepimpinan
“Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh umat Islam, khususnya para pemimpin, agar menjadikan gagasan “Negara Bertaqwa Membawa Berkat” sebagai asas pembentukan polisi negara, reformasi ekonomi dan pembinaan insan.
“Hanya dengan taqwa, amanah dan keadilan, negara akan beroleh barakah dan rahmat Allah,” ujarnya.