Ucapan Dasar Presiden PAS Jelas Halatuju Hadapi PRU

7779

ALOR SETAR – Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar PAS Pusat ke-63 yang berlangsung di Kompleks PAS Kedah disambut baik oleh pelbagai pihak.

Beberapa jemputan dan perwakilan yang ditemui, memuji ucapan itu yang disifatkan sebagai ucapan yang mempunyai hala tuju jelas bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) nanti.

Bagi mantan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, ucapan Presiden PAS itu boleh disifatkan sebagai ucapan seorang negarawan.

Beliau yang juga seorang pakar ekonomi, memuji keberanian PAS dalam usaha memberikan keselesaan kepada rakyat dengan dengan panduan syariah.

“Ekonomi dia mengutamakan rakyat dan tidak ada apa yang dipanggil terlalu jurang pendapatan rakyat itu terlalu meluas, maknanya semua rakyat dibela.

“itu yang dia punya cara dengan cara mengutamakan tatacara yang amanah, maknanya harta negara ini, diurus dengan baik, dengan berpandukan syariah,” terang beliau.

Beliau yakin jika PAS menguasai Selangor, parti itu mampu melakukan yang lebih baik lagi berbanding kerajaan sedia ada.

“PAS mampu mengurus negeri dengan telus, bertanggungjawab dan amanah,” jelasnya, berdasarkan pengalaman beliau.

Bagi AJK PAS Pusat pula, Ustaz Mokhtar Senik, beliau berpendapat ucapan itu adalah cukup mendasar kepada asas perjuangan PAS keranan menekankan kepada empat perkara iaitu akidah, percaya kepada akhirat, ketaqwaan dan keadilan.

Antara lain lagi menurut beliau, sifat ketaqwaan itu boleh menghapuskan sikap seperti chauivinis yang tidak diperlukan dalam kita mengharungi kehidupan yang harmoni, sebagaimana saranan Presiden dalam ucapan dasar itu.

“Kita bertahaluf, dasarnya ialah Islam, baru-baru ini ada pandangan daripada pemuda, muslimat untuk meleraikan tahaluf itu kerana sikap yang ditunjukkan oleh PKR, yang tidak menunjukkan setiakawan yang baik.

Tetapi jika mereka boleh menerima dasar Islam yang asal, kita boleh menerima untuk bertahaluf dengan sesiapa sahaja, asal terasnya Islam,” tegas beliau.

Manakala perwakilan dari Kubang Kerian, Ustaz Zulkarnain Hassan berkata, ucapan dasar ini adalah manifsetasi sikap, peranan dan juga halatuju jelas bagi persiapan PRU yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Dengan penegasan empat perkara asas tadi, beliau menjelaskan bahawa itulah perkara yang diulang-ulang sejak dahulu yang menjadi asas penting bagi ahli gerakan Islam supaya ahli kekal istiqamah.

Bagi memastikan dasar empat perkara ini dilaksanakan dengan jayanya, maka para perwakilan apabila pulang nanti, seharusnya menekankan kepada ahli-ahli disemua peringkat hadir ke program-program pendidikan parti.

Antaranya ialah seperti usrah, kuliah-kuliah agama yang lebih dikenali sebagai program tarbiyyah kerana itulah program utama yang tidak boleh dikesampingkan yang menguatkan parti tanpa mengurangkan kerja-kerja persiapan PRU.

Cikgu Wan Hassan Wan Ismail, perwakilan dari Perlis pula berpendapat ucapan dasar itu menekankan kepada semua pihak bahawa PAS istiqamah, tidak akan berkompromi dengan perkara dasar dalam perjalanan politiknya.

Tegas beliau lagi, tanpa Islam untuk dibawa bersama, tiada makna kepada perjuangan PAS ini.

“Amaran yang dinyatakan oleh Presiden itu adalah amaran kerana Allah sepertimana yang Tuan Guru bagitahu, kita mempunyai ramai budaya, bangsa, agama dan kita mesti menghormati antara satu sama lain.

Dan ini adalah suatu yang baik, sampai ke Sabah, Sarawak beliau sebut yang kita perlu belajar dari orang sana bagaimana mereka hidup bertoleransi,” ujar beliau mengulas tentang sikap tidak menghormati rakan dan bekas rakan tahaluf PAS.

Seorang lagi perwakilan yang berpengalaman luas di Muktamar PAS Pusat, berasal dari Baling, Brig, Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad pula menyatakan ucapan itu menyentuh pekara-perkara yang sedang PAS hadapi.

Beliau menjelaskan untuk dasar ucapan ini difahami dengan menyeluruh, ia perlu diturunkan kepada ahli-ahli bagi membentuk minda ahli agar memahami dasar-dasar ini.

Mengambil contoh tahluf siyasi, beliau berkata, PAS tidak boleh menafikan kepentingan bertahaluf ini bagi menghadapi PRU, tetapi walau sejauh manapun PAS mahu pergi, teras PAS, mesti dijaga.

Dalam isu bantuan kepada rakyat Islam yang ditindas di negara bukan Islam, beliau bersetuju dengan idea Presiden bagi membantu orang Islam yang teraniaya itu dengan perlu mewujudkan pusat bagi bantuan sebegini.