Terengganu, Malaysia

Tunaikan ‘Amanah’ Rakyat Dengan Baik – Ustaz Abdul Hadi

Tahniah Atas Pelantikan Menteri Besar Selangor

KUALA TERENGGANU – PAS mengingatkan rakannya dalam Pakatan Rakyat dari Parti KeADILan Rakyat (PKR) agar dapat menunaikan “amanah” rakyat dengan baik bagi menjaga negeri Selangor.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan sesuatu jawatan itu merupakan amanah Allah SWT yang mesti ditunaikan dengan sebaik-baiknya.

Ini kerana, kata beliau selain jawatan yang dipegang sebagai amanah, harta negeri Selangor juga suatu amanah yang tidak boleh disalahgunakan.

“Jawatan (Menteri Besar) itu adalah ‘amanah’ dan saya mengharapkan supaya (pemimpin) dapat menunaikan amanah dan harta negeri Selangor adalah amanah yang tidak boleh disalahgunakan.

“Kami (PAS) mengharapkan supaya rakyat Selangor menerima baik dan Pakatan Rakyat dapat meneruskan pemerintahan mengikut proses yang selanjutnya,” tegas Ustaz Abdul Hadi.

IMG_20140923_192250Beliau berkata demikian kepada pihak media ketika Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (Dun) ke-13 berhenti rehat selepas sesi soalan jawab lisan di lobi U2 Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pada 23 September lalu.

Kemelut jawatan MB Selangor selesai secara rasminya apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ketika ditanya desas-desus terhadap cadangan bagi mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor, kata Dato’ Seri Abdul Hadi terpulang kepada keperluan semasa negeri, perlembagaannya serta Sultan Selangor itu sendiri.

“Itu (Timbalan MB) terpulang kepada (kerajaan) Selangor, kita (PAS) serah kepada Selangor…lihat pada keperluan Selangor, Perlembagaan negeri Selangor dan Sultan Selangor yang menjadi sebahagian dari Perlembagaan Selangor,” ujarnya.

Namun, kata beliau PAS tidak pernah terkilan meski pun nama-nama calon partinya yang diminta oleh pihak Istana tidak terpilih sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu ini.

Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan PAS tetap akan bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Katanya, percanggahan pendapat dalam parti juga itu perkara biasa terutama dalam negara yang mengamalkan demokrasi sebagai hak untuk bersuara.

“Macam saya sebutkan dalam muktamar, kita (PAS) terus dalam Pakatan Rakyat. Itu (bercanggah pendapat) biasalah dan tak mungkin kita dapat sokongan 100 peratus, itu biasa dan apalagi dalam negara kita yang mengamalkan demokrasi. Itu hak bersuara

“Tak beberapa bulan lagi muktamar. Muktamar (PAS) akan diadakan dan kawasan-kawasan boleh mencalonkan siapa jadi Presiden,” jelasnya ketika mengulas kritikan terhadap Presiden PAS dalam membuat beberapa keputusan penting parti.

Persidangan Dun Terengganu kali ini selama dua hari bermula 23 hingga 24 September, pertama kalinya di bawah Menteri Besar Terengganu yang baharu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman yang menggantikan Dato’ Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014, lalu.

KongsiWhatsAppTelegramThreadsX

Berita berkaitan