Tunai Manifesto Bukti Kejayaan PAS Terengganu

216

KUALA NERUS – Kerajaan PAS Terengganu berjaya menunaikan 18 daripada keseluruhan 20 manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sepanjang tempoh pemerintahan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata, kami telah berusaha sedaya upaya dalam merealisasikan manifesto yang telah kami janjikan pada PRU lepas.

Katanya, pelaksanaan ini bukan hanya bergantung kepada pimpinan sahaja bahkan melalui usaha pegawai kerajaan yang turut membantu dalam menjayakan manifesto ini.

“Sebagai contoh, manifesto kad sejahtera iaitu pegawai kerajaan terpaksa turun naik ke Kuala Lumpur dalam usaha meluluskan kad tersebut.

“Oleh sebab itu, mereka sangat membantu dalam pelaksanan manifesto ini dan pemerintah PAS dilihat mendapat sokongan penuh oleh pegawai kerajaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Teguh Bertahan di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak semalam.

Dalam pada itu, manifesto rawatan wad kelas ketiga yang diberikan percuma kepada seluruh rakyat Terengganu juga telah diusahakan selama dua tahun untuk mendapat kelulusan daripada kerajaan pusat.

“Selain itu, kita juga telah berjaya dengan 20,000 unit perumahan mampu milik dapat dibina untuk rakyat negeri Terengganu melalui usaha pimpinan dan pegawai kerajaan.

“Kami ucapkan terima kasih kepada pegawai kerajaan kerana tanpa kerjasama mereka pelaksanaan ini tidak akan selesai,” katanya.