Tun M Perlu Ukur Baju Dibadan Sendiri

2098

GOMBAK – Tun Dr. Mahathir Mohammad perlu mengukur ‘baju di badan sendiri’ sebelum mengeluarkan kenyataan menyifatkan PAS sebagai pengacau dalam usaha Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Ariffin Deraman berkata demikian ketika ditemui di Program Ramah Mesra Pimpinan PAS Kawasan Kemaman Bersama Perantau Kemaman Lembah Kelang yang adakan di sini pada semalam.

“Pendirian kita mudah, PAS bukan pengacau pilihan raya, kita ada kekuatan yang tersendiri, kemenangan Pakatan Rakyat dahulu, sebahagian besarnya adalah sumbangan penyokong kita dan mereka yang bekerja siang malam untuk menangkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat”

“Sekarang ini, Pakatan Rakyat telah terkubur, yang ada ialah Pakatan Harapan, yang belum lagi membuktikan apa-apa dalam sebarang pilihan raya, Tun Dr. Mahathir tidak boleh menyatakan kita (PAS) sebagai pengacau, sebenarnya mereka adalah pengacau kemenangan kita dalam pilihan raya akan datang”

“PAS telah terbukti selama lebih 60 tahun semakin hari semakin kuat dan kita mendapat sokongan khususnya dari rakyat Terengganu” tambah Ariffin lagi.

Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas perdana menteri yang memerintah selama 22 tahun itu membuat tohmahan bahawa PAS adalah pengacau pilihan raya pada setiap ceramah beliau sepanjang 2 hari berada di Terengganu bermula Sabtu lalu.

Terdahulu, Ariffin Deraman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat, Terengganu memuji usaha pimpinan PAS Kawasan Kemaman mengatur program pertemuan dengan anak-anak Kemaman yang menetap dan mencari rezeki di Lembah Kelang.