Tubuh Skuad Banjir; Persiapan DUN Bukit Payong Hadapi Tengkujuh

1362

MARANG – Perpatah ada mengatakan ‘sediakan payung sebelum hujan’ yang bermaksud menyediakan sesuatu yang sesuai bagi menghadapi kemungkinan yang akan berlaku dimasa depan.

Dengan itu, satu majlis pelancaran Skuad Banjir DUN Bukit Payong telah diadakan di Kompleks Madrasah Darul Iman (MDI) Kedai Buluh Khamis lalu.

IMG_20151115_103358Skuad yang ditubuhkan bagi memantau dan memberi bantuan secara berpusat itu telah dirasmikan oleh Ketua Lajnah Kebajikan Kawasan Marang Ustaz Sidek bin Abu Bakar.

Beliau memuji pendekatan yang amat baik ini sebagai langkah persiapan awal, bukan hanya untuk membantu golongan-golongan tertentu sahaja, malah ianya terbuka bagi mana-mana kawasan yang ditimpa musibah ini.

“Dengan adanya organisasi yang lengkap ini, jika dengan izin Allah kita mampu menangani masalah banjir ini.

Kita juga berharap badan-badan organisasi lain juga turut sama membantu dalam hal ini”, ujar beliau ucapan perasmian Skuad tersebut.

Majlis itu juga dijadikan sebagai medan perbincangan dua hala bersama mereka yang hadir untuk masing-masing berkongsi pengalaman bagi kelancaran gerak kerja Skuad Banjir ini.

Turut hadir, YB Ustaz Mohd Nor bin Hamzah, Adun Bukit Payong yang juga selaku Penasihat Skuad Banjir Dun Bukit Payong

 

IMG_20151115_103310Sebelum itu satu majlis solat hajat khusus bagi memohon agar kawasan sekitar khususnya dan negeri Terengganu umumnya agar tiada berlaku banjir pada musim tengkujuh yang bakal kunjung tiba.

Solat hajat di Masjid Titian Baru, Kedai Buluh itu diadakan selepas solat Maghrib yang diimamkan oleh Ustaz Namjuddin Mohammad dan turut disertai penduduk sekitar.

Ustaz Najmuddin berkata solat hajat itu diadakan bagi memohon supaya musim tengkujuh kali ini tiada lagi berlakunya banjir seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Kita bermohon supaya Allah SWT bantu kita dalam apa jua keadaan yang bakal kita tempuhi nanti.

Kita juga memanjatkan doa supaya bumi Terengganu dielakkan daripada musibah banjir oleh Allah swt,” kata beliau sebelum memulakan solat hajat.