Tradisi Rai Anak Yatim, 300 Terima Duit Raya

184

DUNGUN- Tradisi meraikan anak-anak yatim setiap kali menjelang Hari Raya sejak 12 tahun lalu diteruskan dengan kali ini seramai 300 orang menerima duit raya.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri(MTD) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun berkata tahun ini berbeza dengan tahun – tahun sebelum yang kebiasaannya mereka dibawa ke kedai untuk memilih baju raya.

“Kali ini kita beri wang tunai RM100 seorang untuk anak yatim yang berumur empat hingga 16 tahun,

” InsyaAllah di tahun depan kita akan luaskan sumbangan kepada anak yatim yang baru lahir, sebab bila mereka kematian ayah, mereka juga termasuk dalam golongan anak yatim,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan, PAS Kawasan Dungun berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sumbangan Ramadan Anak Yatim DUN Rantau Abang 2023 di Dewan Al Husna, Markaz Tarbiah Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini pada 14 April lalu.

Menurutnya, bilangan penerima sentiasa bertambah setiap tahun dan pihaknya menerusi Lajnah Kebajikan akan meningkatkan peruntukan untuk program ini.

“Tahun ini kita membelanjakan sebanyak RM30, 000, manakala tahun lepas(2022) RM28, 600 kepada 286 orang anak anak yatim, 2021 sebanyak RM15,700 untuk 157 orang dan tahun 2019 sebanyak RM 18,800 diperuntukkan kepada 188 orang anak yatim,” jelasnya ketika dihubungi di rumahnya di sini semalam.