Tony Pua ‘Syok Sendiri’

743
http://buletinonline.net/images/stories/aberita22/Khairuddin%20takiri.jpg

KUALA TERENGGANU – PAS menyifatkan kenyataan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua yang berkata kononnya PAS akan lenyap di negeri Selangor sekiranya pilihan raya mengejut diadakan, sebagai satu kenyataan yang ‘syok sendiri’.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Dr. Ustaz Khairuddin Aman Razali berkata sejarah terus memperlihatkan Pas tetap bertahan, akan tetap kuat dan bangkit dengan jenteranya meluas di semua peringkat.

Katanya, rakyat menilai setiap orang bertanding berdasarkan parti, peribadi, bakti mereka dan soal Pas akan lenyap merupakan suatu yang amat mustahil kerana Pas terbukti bertahan sejak 51 tahun lalu.

“PAS tak mungkin lenyap dan sentiasa boleh bertahan. Di Terengganu kita jatuh pada 2004, tapi kita bangkit sekarang, tinggal dua kerusi lagi untuk kita kuasai.

“Kita ada jentera di mana sahaja. Yang tak ada jentera ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR). DAP hanya ada jentera di peringkat elit sedangkan rangkaian Pas di peringkat akar umbi, di semua tempat.

“Itu terpulang kepada Tony Pua untuk memberi amaran namun istilahnya adalah `syok sendiri’, ujar beliau ketika ditemui di sini semalam.

Tony Pua yang juga Pengerusi DAP Selangor dilaporkan mendakwa pakatan pembangkang berisiko kalah manakala Pas pula mungkin lenyap kerana kehilangan banyak sokongan sekiranya pilihan raya mengejut diadakan untuk menyelesaikan isu penggantian Tan Seri Abdul Khalid.

Amaran itu dibuat berikutan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada minggu lalu yang menyokong Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar yang dianggap oleh sesetengah pihak, boleh menimbulkan perpecahan dalam Pakatan Rakyat.

Dr. Mohd Khairudin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, andainya Pakatan Rakyat tewas di Selangor, PKR seharus dipersalahkan sebagai punca yang mencetuskan konflik dan bukannya PAS.
“PAS hanya berpegang kepada pendirian asal, kita bersetuju dengan Menteri Besar Selangor sedia ada, tetapi yang timbulkan masalah adalah PKR.

“Kalau jatuh sekali pun, sebabnya adalah kerana PKR. PAS hanya mempertahankan Abdul Khalid supaya rakyat boleh melihat pakatan pembangkang sebagai sebuah parti yang telus dan memang berkhidmat untuk rakyat kerana setakat hari ini tak ada satu hujah yang kuat untuk menurunkan dia,” ujarnya.

Katanya, selagi tidak ada bukti-bukti penyelewengan dikemukakan terhadap Abdul Khalid maka PAS sebagai pemimpin ummah untuk terus mempertahankan Abdul Khalid.