Oleh : MNA
Satu laporan berita yang disiarkan oleh portal milik Umno berkenaan cadangan kerajaan Negeri Terengganu mahu mengurniakan lot tanah dan bantuan membina rumah kepada rakyat Terengganu menjadi ‘jenaka tular’.
Kenyataan itu datang melalui Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Nawi Mohd yang berkata sebanyak kira-kira 500 lot tanah di dua kawasan yang masih dirahsiakan.
Tambah beliau lagi, mereka yang dicadangkan layak ialah mesti anak Terengganu, berusia 21 tahun ke atas dan sudah berkahwin serta belum lagi mempunyai tanah serta rumah sendiri.
Lebih menggembirakan dakwa beliau ialah lot tanah tersebut mungkin dijadikan tanah pertanian untuk membantu mereka menjana pendapatan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah.
Namun cadangan Nawi itu pada mulanya diharap menjadi tular bagi menggembirakan rakyat Terengganu, sebaliknya menjadi bahan lawak jenaka rakyat yang jelas tidak langsung mempercayai janji Umno itu.


Mereka mempertikaikan kenapa cadangan ini baharu diperkenalkan setelah umum mengetahui yang PRU akan berlangsung tidak lama lagi.
Ada juga mempersoalkan kenapa tidak diberikan setelah kali terakhir kemudahan mendapat tanah lot kediaman berlaku pada sekitar tahun 1999- 2004 ketika zaman pemerintahan PAS yang kemudiannya dirampas kembali menggunakan pelbagai alasan.
Akan tetapi paling menarik, jawapan daripada Adun Tepuh, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim apabila ditanya, beliau optimis ianya akan dilaksanakan oleh kerajaan kerana menurut beliau, inilah yang diperjuangkan oleh PAS.
Ianya juga termasuk di dalam lima manifesto awal PAS yang baru-baru ini diumumkan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, YB Ustaz Satiful Bahari Mamat di Program HARAP 3.5 di Besut minggu lalu.
Sekaligus menurut YB Ustaz Hishamuddin, membuktikan bahawa manifesto PAS adalah signifikan dan realistik, disebalik cacian dan kutukan ketika permulaan pengumumannya itu.
Beliau juga berharap agar kerajaan tidak hanya pandai berjanji, tetapi mestilah melaksanakannya untuk rakyat serta adil dalam pembahagian lot-lot itu tanpa mengira parti.




























