Tentera Merah; Rebah Bangun Bersama Islam!

2848

Oleh : Azizah Mahmood

Mereka berada di mana-mana tatkala khidmat didambakan dan bertugas tanpa dipanggil pun, mereka akan sentiasa ada saat diperlukan.

Itulah Unit Amal anggota dari Jabatan Amal Negeri Terengganu.

Tentera merah nama yang diberi, berani dan cekal, semerah semangat yang mereka dokongi dan pasti berada di mana sahaja hatta mereka akan berhadapan dengan semburan air oleh FRU atau polis, sewaktu demonstrasi.

Mereka beramal kerana Allah dan setiap program atau aktiviti bertema khidmat untuk Islam pasti di situ mereka berada.

Patuh dan berdisiplin tinggi itu arahan yang diterima dan mereka muncul dari berbagai latar belakang hatta seorang yang bergelar Yang Berhormat sekalipun, mereka tetap sama dalam satu saf.

Berpanas mereka bermandi peluh, berhujan mereka kuyup basah, tatapi mengingkari amanah tidak sesekali.

Bukan upah yang ditagih jauh sekali meminta dihormati, namun pada saat penting dan genting, panggillah mereka takkala musibah melanda pasti mereka tidak akan berkata “tidak”.

Unit Amal bertebaran di merata-rata himpunan kecil atau besar, ceramah di kampung atau di bandar.

Menyelam alam air, sungai atau laut. Mencari mangsa lemas mahupun membersih rumah yang rentung, mereka sedia menabur khidmat tanpa mengira waktu dan tempat .

Mereka adalah pejuang tulin yang namanya tidak kita canangi kerana bukan nama yang mereka mahu tempa tapi janji untuk berada di syurga Allah, mereka rebah dan bangun bersama Islam.

Inilah pejuang yang tidak didendang.

Makan mereka tidak berwaktu, tidur mereka tidak bertempat. Di mana jatuh, di situ di bentang beg galas sebagai bantal.

Di mana mereka duduk di situ bersimpuh menghadap rezeki dan ketika malam menjelma, surau masjid menjadi tempat melepas lelah barang sejam dua, demi esok menyambung tugasan.

Pulang ke destinasi masing-masing menyambung kehidupan, yang buruh meneruskan kerja kasarnya, yang menjual ikan menyambung jajaannya, Yang Berhormat meneruskan khidmat.

Mereka pulang bukan membawa wang atau habuan tapi pulang dengan perasaan lapang kerana janji untuk berkhidmat demi Islam kerana Allah, sudah di lunaskan.

Amanah terpikul kemas, beban digalas sudah, tunggulah habuanmu di sisi Allah, wahai ansorallah!