Tingkat Kegiatan Kerohanian Dan Aktiviti Keagamaan

788

Oleh: Ahmad Mawardi

HULU TERENGGANU – Pemuda PAS Cawangan Teluk Menara, Manir (PPCTM) terus giat mempertingkatkan kegiatan kerohanian dan aktiviti keagamaan, termasuk mengadakan kelas Al-Quran dan Fardhu Ain pada setiap hari jumaat.

Ketuanya, Muhammad Abdul Aziz berkata, langkah tersebut dibuat bagi menyahut seruan kerajaan negeri Terengganu bahawa Jumaat merupakan hari ilmu dan pengisytiharan ini bertujuan meningkatkan budaya cintakan ilmu.

“Kelas-kelas itu diadakan secara talaqi berkitab dan percuma khas untuk pemuda dan belia warga kampung kami bagi memenuhi aktiviti-aktiviti pengimarahan masjid.

“Pengajian fardhu ain diadakan pada selepas solat asar, manakala pengajian al-Quran diadakan selepas solat isya’ setiap minggu,” jelasnya ketika dihubungi, pada semalam.

Justeru itu, beliau berharap kepada
para ibu bapa dan masyarakat sekitarnya, agar turut serta dan merebut peluang dengan mengikuti kelas berkenaan.

Katanya, pemuda dengan kerjasama jawatankuasa Masjid Teluk Menara sudah mewujudkan kumpulan ‘sahabat masjid’, terbuka kepada belia ahli kariah, yang akan membantu secara sukarela dalam kerja-kerja amal yang dilaksanakan.

Beliau menambah, seramai 67 belia menjadi ahli ‘sahabat masjid’ setelah dilancarkan pada tahun 2019 yang lalu.

“Antara program besar yang sudah dilakukan adalah menyertai misi mangsa banjir bersama NGO (TM Care) ke beberapa daerah di negeri Pahang, membersihkan persekitaran masjid serta tanah perkuburan dan banyak lagi.

“Kita letakkan nilai spiritual dalam program pemuda yang dijalankan, seperti pertandingan sukan, konvoi bermotor, hiking dan aktiviti yang dijalankan oleh pihak masjid seperti kuliah Maghrib setiap hari serta kuliah Subuh pada hari jumaat,” ujarnya.

Selain itu, katanya, setiap bulan ramadhan akan diadakan program tadarus pemuda setiap malam selepas solat sunat teraweh bagi mendekatkan diri dengan Sang Pencipta disamping menghidupkan sunnah Rasullullah SAW.