KUALA TERENGGANU – PAS Kawasan Kuala Terengganu hari ini menegaskan tindakan untuk memutuskan hubungan dengan anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad bukan suatu yang terburu-buru tetapi adalah berdasarkan maklumat dan bukti yang berasas.
Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukhairi Wan Abdullah berkata pihaknya tidak akan mengambil tindakan itu tanpa asas bukti yang kukuh.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bukti dan maklumat yang mengaitkan penglibatan Raja Kamarul Bahrin dengan Gerakan Harapan Baharu (GHB) itu kecuali diminta memberi penjelasan kepada PAS pusat berhubung tindakan berkenaan.
“Saya tidak akan menggunakan saluran media untuk saling berbalas kenyataan namun bersedia untuk memberi maklumat atau bukti berhubung penglibatan Raja Kamarul Bahrin dengan GHB sekiranya diminta pimpinan PAS Pusat.
“Ketika ini kita hanya menunggu apakah tindakan beliau yang selanjutnya setelah kita menghantar surat kepada beliau yang memaklumkan kita memutuskan sebarang kerjasama dengan beliau, menuntut permohonan maaf kepada pengundi dan anggota PAS yang mengundi beliau dan mengisytiharkan secara terbuka bahawa dirinya tiada sebarang kaitan dengan GHB.
“Kita juga meminta beliau membuat satu keputusan yang jelas dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat itu dihantar iaitu pada 9 Ogos lalu dan jika gagal, kita mahu beliau meletakkan jawatan sebagai Anggota Parlimen Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita di majlis sambutan Aidilfitri Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu di sini hari ini.
Terdahulu, dalam sidang media di pejabat Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin menegaskan beliau masih bersama PAS dan mendakwa keputusan PAS Kuala Terengganu yang memutuskan hubungan dan kerjasama dengannya telah menjejaskan perkhidmatannya sebagai wakil rakyat di bandaraya itu.
Mengulas lanjut Wan Sukhairi berkata keputusan PAS Kawasan Kuala Terengganu itu adalah hasil keputusan bersama di peringkat akar umbi dan pihaknya juga berpegang kepada satu pekeliling tentang GHB yang dikeluarkan Ibu pejabat PAS Pusat.
“Jadi kita hanya mengikut pekeliling itu yang jelas melarang penglibatan anggota, kepimpinan PAS apatah lagi Yang Berhormat (wakil rakyat) PAS untuk bekerjasama atau menghadirkan diri dalam apa sahaja majlis anjuran GHB.
“Saya rasa arahan pekeliling itu cukup jelas untuk difahami, ia berkisar tentang adab berorganisasi, adab berjemaah dan PAS Kawasan Kuala Terengganu telah menjalankan tanggungjawabnya dan menghantar surat rasmi kepada PAS pusat dan negeri berhubung keputusan itu, selebihnya kita serahkan kepada PAS Pusat untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sebaik sahaja PAS Kuala Terengganu memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan Raja Kamarul Bahrin, satu Jawatankuasa Penyelaras Parlimen Kuala Terengganu telah ditubuhkan untuk mengisi ke lompang anda yang ada berikutan keputusan tersebut.
“Jawatankuasa ini bertindak untuk merancang dan melaksanakan apa yang sepatutnya di parlimen ini bukannya sebagai wakil rakyat kerana Raja Kamarul Bahrin masih Anggota Parlimen Kuala Terengganu yang sah.
“Sebaliknya ia diwujudkan untuk melancarkan lagi kerja-kerja yang sepatutnya di empat kawasan Dewan Undangan Negeri di parlimen ini (Batu Buruk, Bandar, Wakaf Mempelam dan Ladang),” katanya yang menegaskan penubuhan jawatankuasa itu pada 1 Ogos lalu hanya sebagai melicinkan lagi kerja di peringkat organisasi parti itu.
GHB ditubuhkan beberapa pemimpin PAS yang kalah dalam pemilihan parti Jun lalu. Pergerakan itu telah memohon untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.
Pada pilihan raya umum ke-13, Raja Kamarul Bahrin menang kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 10,785 undi atas tiket PAS mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk Mohd Zubir Embong dan calon Bebas Maimun Yusof.





























