Timbalan Presiden Simpati Nasib Mangsa Banjir

1113

KEMAMAN – Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menziarahi penduduk di Taman Fikri Chukai yang telah kembali ke rumah masing-masing, gotong-royong membersihkan rumah dilakukan oleh anggota amal Hulu Terengganu.

Beliau berpendapat, kesan banjir besar yang berlaku di Kemaman ini cukup dahsyat dan dianggap paling besar dalam sejarah negeri ini.

Sehubungan itu, beliau memuji kecekapan anggota-anggota sukarelawan PAS seperti Unit Amal yang bertindak pantas menyelamatkan mangsa-mangsa banjir.

Katanya kerja-kerja sukarelawan ini perlu diteruskan termasuk kepada orang Umno dan masyarakat bukan Islam.

“Unit Amal ini, dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini, saya puji dia (Jabatan Amal) dan saya sebut sukarelawan terbaik dalam dunia Islam.

“Kerja-kerja sukarelawan ini perlu kita (PAS) teruskan termasuk kepada orang-orang Umno dan orang bukan Islam, dan kita harap mereka (masyarakat) menerima baik khidmat dari unit amal kita,” ujarnya.

Beliau melahirkan rasa simpati dan sedih mendengar rintihan mangsa-mangsa banjir yang mengalami kerugian, kerosakan dan kehilangan harta benda.

“Saya sempat melihat dan meninjau keadaan penduduk dan rumah-rumah yang terlibat dengan banjir di Taman Fikri ini. Saya diceritakan oleh mereka (penduduk) dan saya sangat sedih mendengar rintihan mereka.

“Kita (PAS) akan cuba untuk mencari dana (sumbangan) lagi untuk bantu penduduk yang kena banjir ini. Kerugian ini cukup besar dan mereka (penduduk) hilang harta benda kerana banjir,” ujarnya.

Hadir sama mengiringi beliau iaitu Adun Chukai, Hanafiah Mat, Bendahari PAS Terengganu, M.Sukrimun Shamsuddin, Ketua Penerangan PAS Pahang, Ustaz Suhaimi Saad, Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah dan Ketua Pemuda PAS Kemaman, Ustaz Ramlan Mahmod.

Sehubungan itu, Mohamad Sabu turut menyampaikan sumbangan kepada PAS Kawasan Kemaman bagi pengurusan mangsa banjir tersebut.