MEUREUDU, ACEH – Tangisan, ketakutan dan perjuangan untuk terus hidup menjadi kenangan pahit buat Furqan Nurhalim, 25, penduduk Kampung Menasah Lhok, Meureudu, Pidie Jaya, apabila banjir besar melanda kampungnya pada malam 25 Disember lalu.
Menurut Furqan, air mula naik sekitar jam 9.00 malam, namun ketika itu keadaannya masih terkawal dengan paras kira-kira satu meter di atas jalan.
Namun katanya, menjelang jam 12.00 tengah malam, situasi bertukar menjadi mimpi ngeri apabila air naik mendadak disertai arus deras dan kayu-kayu besar yang dihanyutkan dari kawasan pergunungan.
“Dalam keadaan panik, kami tidak sempat selamatkan apa-apa. Semua orang terus naik ke atas bumbung rumah untuk selamatkan nyawa,


“Pada malam itu, paras air dianggarkan melebihi tiga meter, menjadikan seluruh kampung seolah-olah tenggelam.” katanya.
Furqan berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan KAMI yang berada di Aceh Dalam Misi Kemanusiaan Dan Liputan Mangsa Banjir.
Keesokan paginya, tambah beliau, air sedikit surut namun masih mencecah hampir dua meter.
Oleh itu, kata beliau, penduduk cuba keluar untuk mendapatkan bantuan, namun terpaksa berpatah balik kerana laluan dipenuhi kayu besar yang masih hanyut, sekali gus membahayakan sesiapa sahaja yang cuba meredah arus.


Lebih menyayat hati, kata Furqan, beliau dan penduduk kampung terperangkap selama tiga hari tiga malam di atas bumbung rumah tanpa sebarang bekalan makanan.
“Sepanjang tempoh itu, mereka hanya bergantung kepada air hujan yang dikumpulkan pada malam pertama dan kedua untuk terus bertahan.
“Keadaan menjadi semakin kritikal pada malam ketiga apabila hujan berhenti dan air hujan tidak lagi dapat dikumpulkan.
“Dalam keadaan terdesak, mangsa terpaksa meminum air berlumpur demi kelangsungan hidup, sambil menunggu bantuan yang tidak pasti tiba.” jelas beliau.


Justeru katanya, usaha menyelamat turut berdepan cabaran apabila pasukan SAR tidak dapat memasuki kawasan kampung disebabkan kayu-kayu besar yang menghalang laluan.
Detik cemas itu, ujar beliau, berlarutan sehingga hari ketiga apabila paras air mula menurun dan laluan boleh diakses secara perlahan.
“Alhamdulillah, akhirnya kami diselamatkan,” kata Furqan dengan suara sebak.
“Namun pengalaman tiga hari tanpa makanan, hanya bertahan dengan air, termasuk sisa kuih yang dibawa oleh kanak-kanak, meninggalkan trauma mendalam dan menjadi luka yang sukar dipadam buat mangsa-mangsa banjir di kampung ini.” jelas beliau lagi.





























